KUALA LUMPUR 23 Feb - Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) merekodkan pelaburan direalisasikan berjumlah RM78.95 bilion dan mewujudkan lebih 23,000 peluang pekerjaan pada 2025, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam satu hantaran di platform X, beliau berkata pencapaian itu dilaporkan pada Mesyuarat ke-35 Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara yang dipengerusikannya hari ini.
Selain itu, pada tahun lalu NCER melahirkan 4,000 bakat tempatan yang memenuhi keperluan pelabur dan industri menerusi program Pusat Inovasi Teknologi NCER (NTIC).

Perdana Menteri berkata, mesyuarat itu turut membincangkan perancangan bagi 2026 dan tahun-tahun seterusnya dengan memberi tumpuan kepada pengukuhan peranan NCER dalam mempercepatkan realisasi pelaburan berkualiti tinggi di wilayah utara.
“Ini termasuk beberapa pelaburan berpotensi berkaitan Kedah Rubber City (KRC) dan Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA) di Perlis,” katanya.
Beliau menambah, mesyuarat itu juga meneliti inisiatif bagi memperluas impak pembangunan ekosistem pelaburan di kawasan sempadan Malaysia–Thailand serta kajian untuk menghidupkan semula daya saing pelancongan Langkawi. - DagangNews.com








