KUALA LUMPUR 19 Feb — Malaysia Co-Investment Fund (MyCIF) memberikan jaminannya untuk terus komited menyokong usahawan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di wilayah utara Semenanjung Malaysia menerusi pelbagai skim pembiayaan baharu.
Menurut Pengarah Eksekutif Strategi Digital dan Inovasi Suruhanjaya Sekuriti (SC), Dr Wong Huei Ching, pengusaha sektor terbabit justeru digalakkan untuk meneroka peluang yang banyak disediakan dana pelaburan alternatif bersama kerajaan itu.
MyCIF yang ditubuhkan oleh Kementerian Kewangan di bawah Belanjawan 2019 untuk melabur bersama dalam PMKS melalui platform pembiayaan secara pendanaan ekuiti komuniti atau 'crowdfunding' (ECF) dan rakan sebaya-kepada-rakan sebaya (P2P).
Beliau malah mendedahkan bahawa setakat ini hanya 17 peratus daripada keseluruhan perniagaan dari wilayah utara itu yang dibiayai menerusi pendekatan ECF dan P2P, dengan jurang kurang kesedaran mengenai inisiatif bantuan MyCIF masih ketara.
“Peratusan ini adalah rendah. Itulah sebab kami menganjurkan jerayawara dengan kerjasama Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) untuk meningkatkan lagi kesedaran dan menggalakkan PMKS merebut peluang pengukuhan bisnes," katanya.
Mengulas lebih lanjut, Huei Ching menambah bahawa wilayah utara, yang menyumbang 20 peratus daripada bilangan PMKS Malaysia, dipilih untuk siri jerayawara anjuran MyCIF itu kerana kepentingannya dalam memacu aktif pertumbuhan ekonomi.
Malah beliau menekankan kepentingan untuk memperluaskan jerayawara MyCIF di seluruh negara, demi memastikan pemilik perniagaan di seluruh Malaysia mempunyai sumber akses sama kepada pilihan skim pembiayaan alternatif yang lebih baik.
"Sesi pada hari ini direka bentuk bagi mendidik para peserta yang hadir mengenai pembiayaan ECF dan P2P, sebelum melengkapkan mereka dengan pengetahuan, alat dan sambungan yang diperlukan untuk mengakses pilihan pembiayaan," kata beliau.
Dengan dana permulaan sebanyak RM260 juta, MyCIF jelasnya, telah melabur bersama lebih daripada RM1 bilion dalam lebih 9,000 PMKS, serta membantu perniagaan terlibat untuk mengakses pembiayaan melalui pendekatan ECF dan P2P.
Selain itu kata Huei Ching, Belanjawan 2025 telah memperuntukkan RM40 juta kepada MyCIF untuk menggalakkan inovasi dalam kewangan Islam, serta menyokong penggunaan pembiayaan perkongsian risiko menerusi platform ECF dan P2P. - DagangNews.com








