MUI Properties beli 730 ekar tanah di Ijok berharga RM605 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MUI Properties beli 730 ekar tanah di Ijok berharga RM605 juta

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 28 Nov – MUI Properties Bhd membeli lapan lot tanah pegangan bebas di Ijok, Selangor berharga RM605 juta bagi membina semula rangkaian pembangunan syarikat selepas penjualan tanah terbaharunya di Negeri Sembilan.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata anak syarikat tidak langsungnya, MUI Industrial Estates Sdn Bhd menandatangani perjanjian jual dan beli bersyarat bagi pembelian tanah seluas 730.99 ekar itu.

 

“Tanah tersebut terdiri daripada lot berstatus perindustrian dan terletak bersebelahan Lebuhraya Kuala Lumpur–Kuala Selangor serta Lebuhraya Pantai Barat (WCE).

 

“Pembelian ini dibuat untuk menambah semula bank tanah kumpulan setelah proses penjualan tanah industri di Bandar Springhill bernilai RM424.43 juta selesai awal tahun ini.

 

“Penjualan itu telah mengurangkan bank tanah sedia ada untuk pembangunan baharu. MUI Properties kini hanya memiliki 133 ekar di Negeri Sembilan dan 0.45 ekar di Selangor yang diperuntukkan bagi projek masa depan,” katanya dalam makluman tersebut.

 

Pembelian tanah tersebut akan dibiayai melalui gabungan dana dalaman dan pinjaman bank, dengan 25% dibayar secara tunai dan selebihnya 75% melalui hutang. 

 

Setakat ini, 13 daripada 19 pemilik bersama tanah itu bersetuju menjual dan menandatangani SPA. Namun, kerana masih ada enam pemilik tidak bersetuju, MUI Industrial Estates perlu memohon perintah mahkamah untuk membolehkan semua bahagian tanah itu dijual kepada syarikat pada terma yang sama.

 

Penyempurnaan urus niaga dijangka dalam separuh kedua 2027, tertakluk kepada beberapa syarat terdahulu termasuk perintah mahkamah, penyingkiran kaveat serta kelulusan pemegang saham MUI Properties.

 

Syarikat itu menjelaskan tanah tersebut menawarkan potensi pembangunan jangka panjang khususnya bagi projek berasaskan industri dan logistik, memandangkan kedudukannya yang strategik berhampiran Kuala Lumpur, Shah Alam dan Pelabuhan Klang, serta berdekatan taman perindustrian mapan seperti Eco Business Park V dan Nouvelle Industrial Park. 

 

Keluasan tanah yang besar turut membolehkan pelaksanaan pembangunan secara berfasa, sejajar dengan strategi kumpulan untuk memperluas portfolio hartanah dan memperkukuh pendapatan berulang.

 

MUI Properties sebelum ini menerima RM63.4 juta daripada agihan dividen RM105.66 juta oleh anak syarikatnya, West Synergy Sdn Bhd, hasil penjualan tanah di Bandar Springhill. 

 

Sebahagian daripada jumlah itu digunakan untuk mengisytiharkan dividen khas lapan sen sebanyak RM59.27 juta pada Ogos. 

 

MUI Properties dimiliki 72.26% oleh Malayan United Industries Bhd.

 

Sementara itu, dalam makluman berasingan, MUI Properties melaporkan ia kembali mencatat keuntungan bersih RM108.61 juta bagi suku pertama berakhir 30 September 2025 (1QFY2026), berbanding kerugian bersih RM11.8 juta pada tempoh sama tahun lalu. 

 

“Prestasi itu didorong terutamanya oleh pelupusan tanah di Bandar Springhill.

 

“Hasil meningkat lebih sepuluh kali ganda kepada RM367.14 juta daripada RM34.74 juta dalam 1QFY2025, manakala pendapatan sesaham naik kepada 14.66 sen berbanding kerugian sesaham 1.59 sen sebelum ini,” katanya. - DagangNews.com