MSC sahkan perlombongan RHT dihentikan selama tiga minggu, dijangka mula beroperasi selepas 4 Disember | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MSC sahkan perlombongan RHT dihentikan selama tiga minggu, dijangka mula beroperasi selepas 4 Disember

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 21 Nov – Malaysia Smelting Corporation Bhd (MSC) mengesahkan anak syarikatnya, Rahman Hydraulic Tin Sdn Bhd (RHT) diarahkan menghentikan aktiviti perlombongan selama tiga minggu berikutan siasatan Jabatan Mineral dan Geosains Perak terhadap perubahan warna Sungai Perak.

 

MSC berkata, arahan yang dikeluarkan pada 13 November itu menetapkan perlombongan dihentikan sehingga 4 Disember.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, MSC menjelaskan keputusan selepas tarikh tersebut tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa sebelum operasi disambung semula.

 

“Kesan kewangan akibat penggantungan sementara ini adalah terkawal dan dijangka tidak menjejaskan keputusan kewangan penuh bagi tahun berakhir 31 Disember 2025 secara material.

 

“Penggantungan hanya melibatkan operasi perlombongan manakala operasi peleburan timah berjalan seperti biasa,” kata MSC dalam makluman tersebut.

 

MSC menegaskan RHT telah lama melaksanakan langkah perlindungan termasuk pelan kawalan hakisan dan mendapan, pelan pemulihan sungai serta sistem air gelung tertutup.

 

“Pasukan teknikal syarikat juga sedang mengkaji kaedah rawatan air pasif menggunakan bakteria pengurang sulfat,” katanya.

 

Pada Rabu lalu, Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang turut menjalankan tugas sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestrian Alam memberitahu Parlimen dua syarikat perlombongan yang beroperasi di kawasan hulu Sungai Perak iaitu RHT dan syarikat perlombongan REE, MCRE Resources Sdn Bhd diarahkan menghentikan operasi selama tiga minggu selepas Kabinet meluluskan penggantungan tersebut.

 

Johari berkata, keputusan itu dibuat selepas foto-foto sungai berhampiran jambatan Kampung Sungai Papan menjadi tular bulan lalu, menunjukkan air sungai berubah menjadi biru terang.- DagangNews.com