MRCB meterai perjanjian pembangunan Ipoh Sentral bernilai RM6.25 bilion dengan ISSB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MRCB meterai perjanjian pembangunan Ipoh Sentral bernilai RM6.25 bilion dengan ISSB

Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 14 Julai – Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) memuktamadkan kerjasama untuk membangunkan projek pembangunan berorientasikan transit, Ipoh Sentral di ibu negeri Perak yang mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM6.25 bilion.

 

Menurut makluman kepada Bursa Malaysia pada Jumaat, kumpulan itu telah menandatangani perjanjian dengan Ipoh Sentral Sdn Bhd (ISSB), susulan memorandum persefahaman yang dimeterai pada Januari lalu.

 

ISSB merupakan usaha sama 50:50 antara Railway Assets Corporation dan Silver Smart Sdn Bhd, yang dimiliki oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Incorporated).

 

 

 

 

 

MRCB memaklumkan, satu usaha sama tidak diperbadankan akan ditubuhkan antara kumpulan itu dan ISSB, di mana MRCB akan bertanggungjawab sepenuhnya ke atas pembangunan Ipoh Sentral.

 

Sebagai balasan, MRCB akan membayar ISSB sebanyak RM348 juta, tertakluk kepada bayaran minimum terjamin sebanyak RM198 juta, bagi melaksanakan pembangunan Ipoh Sentral tersebut.

 

Pembayaran itu akan dibiayai menerusi pinjaman bank dan dana dalaman syarikat, menurut kenyataan MRCB.

 

Untuk rekod, MRCB merupakan pemaju utama kepada hab transit terbesar negara, KL Sentral, dan kini sedang menjalankan projek pembangunan semula KL Sentral melalui unit kerjasama awam-swasta di bawah Jabatan Perdana Menteri.

 

“Kerjasama yang dicadangkan ini akan membolehkan syarikat mengembangkan kepakaran dalam pembangunan berorientasikan transit bagi membina sebuah hab pengangkutan moden yang menghubungkan pelbagai mod pengangkutan, di samping meningkatkan kualiti hidup rakyat menerusi pembangunan bersepadu,” kata MRCB mengenai projek Ipoh Sentral.

 

 

Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din
            Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din

 

 

Pemegang saham utama MRCB termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan pegangan sebanyak 36.21%, kenderaan milik Timbalan Pengerusi Eksekutif MRCB, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din iaitu Gapurna Sdn Bhd (15.48%), serta Lembaga Tabung Haji (5.35%).

 

Saham MRCB ditutup setengah sen atau 0.93% lebih rendah pada 53.5 sen pada Jumaat, memberikan nilai pasaran kumpulan itu sebanyak RM2.39 bilion. - DagangNews.com