KUALA LUMPUR 17 April – Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) berjaya menjana potensi jualan dianggarkan RM47.5 juta menerusi Program Lawatan Jaringan Perniagaan yang melibatkan 35 pembeli dari Asia Tengah.
Ia adalah sebahagian usaha MPOC dalam memperkukuhkan Malaysia dalam pasaran minyak sawit ke rantau baharu yang berpotensi tinggi dalam industri minyak dan lemak.
Delegasi tersebut terdiri daripada pengeluar makanan merangkumi pelbagai segmen utama termasuk konfeksi, aiskrim, bakeri dan marjerin, mencerminkan peningkatan permintaan terhadap aplikasi berasaskan minyak sawit di rantau berkenaan.
Program itu turut menampilkan sesi BizMatch yang mempertemukan 18 pembekal Malaysia dengan pembeli asing melalui 352 pertemuan perniagaan berstruktur bagi meneroka peluang perdagangan secara langsung.
Ketua Pegawai Eksekutif MPOC, Belvinder Sron berkata Asia Tengah merupakan pasaran pertumbuhan yang amat berpotensi khususnya dalam segmen bernilai tambah seperti lemak khusus dan aplikasi pembuatan makanan.
Beliau berkata penglibatan yang kukuh sepanjang program itu mencerminkan keyakinan pembeli terhadap kualiti minyak sawit Malaysia serta kesediaan pembekal tempatan untuk memenuhi keperluan pasaran serantau.
Sepanjang program, delegasi turut diberi pendedahan terhadap ekosistem minyak sawit bersepadu Malaysia melalui lawatan ke ladang sawit bagi melihat sendiri proses penuaian.
Mereka juga dibawa melawat kemudahan pukal moden di Johor Bahru serta sesi bersama pemain industri bagi memahami keupayaan hiliran termasuk pembangunan lemak khusus dan inovasi produk di fasiliti penapisan.
Duta Besar Uzbekistan ke Malaysia, H.E. Karomidin Gadoev turut hadir dan mengadakan pertemuan dengan pembeli serta pembekal yang terlibat dalam program berkenaan.
Beliau menyatakan sokongan terhadap usaha memperkukuh kerjasama perdagangan serta menekankan potensi besar Uzbekistan dan rantau Asia Tengah sebagai pasaran penting minyak sawit Malaysia.
Beliau turut mencadangkan agar pembekal Malaysia mempertimbangkan penempatan stok di Uzbekistan bagi meningkatkan kecekapan pengedaran di rantau tersebut dengan sokongan fasilitasi perdagangan kerajaan negara itu.
MPOC berkata pihaknya akan terus memperkukuh penglibatan di Asia Tengah melalui peluasan aplikasi minyak sawit merentas pelbagai segmen industri serta pembangunan model perdagangan yang lebih berdaya saing, selain merancang program susulan bagi menukar peluang perniagaan kepada kerjasama jangka panjang.- DagangNews.com








