KUALA LUMPUR 31 Julai - HSS Engineers Berhad, sebuah syarikat perunding kejuruteraan dan pengurusan projek, hari ini mengumumkan perletakan jawatan Dato’ Mohd Zakhir Siddiqy Sidek sebagai Pengerusi Bukan Bebas Bukan Eksekutif HEB Group berkuat kuasa 31 Julai 2025.
Mohd Zakhir, 58, yang telah berkhidmat dalam Lembaga Pengarah sejak 17 April 2015 dan turut merupakan ahli Jawatankuasa Audit dan Pengurusan Risiko, akan digantikan oleh Dato’ Sri Ir. Ismail Md. Salleh, Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Kanan, yang akan memangku jawatan pengerusi mulai 1 Ogos 2025.
Mohd Zakhir merupakan graduan undang-undang dari King's College, University of London. Beliau adalah Akauntan Bertauliah serta ahli kepada Institute of Chartered Accountants in England and Wales dan Institut Akauntan Malaysia.
Dengan pengalaman lebih 36 tahun merentasi pelbagai industri, beliau pernah memegang jawatan kepimpinan kanan dalam syarikat-syarikat awam terkemuka termasuk Renong Berhad, United Engineers (M) Berhad, Crest Petroleum Berhad, Southern Steel Berhad, Park May Berhad, KLOFFE Berhad, serta beberapa syarikat swasta.
Sepanjang dekad lalu sebagai Pengerusi, Mohd Zakhir memainkan peranan penting dalam memacu pencapaian utama HEB Group. Beliau mengetuai proses Tawaran Awam Permulaan (IPO) dan penyenaraian Syarikat di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad pada 2016, diikuti dengan pemindahan ke Pasaran Utama pada tahun berikutnya.
Beliau juga memberikan panduan strategik semasa pengambilalihan SMHB Engineering Sdn Bhd yang telah memperkukuh keupayaan perundingan kejuruteraan Syarikat serta kepimpinan dalam projek-projek infrastruktur dan berkaitan air. Tambahan pula, Mohd Zakhir turut menerajui Syarikat dalam menghadapi cabaran luar biasa semasa pandemik COVID-19.
Mohd Zakhir menyatakan bahawa peletakan jawatan beliau adalah bagi memberi tumpuan kepada komitmen dan tanggungjawab lain di luar syarikat serta keutamaan profesional lain. - DagangNews.com








