KUALA LUMPUR 20 Feb – Majlis Perkhidmatan Minyak, Gas & Tenaga Malaysia (MOGSC) menggesa agar jumlah kerja yang diunjurkan dalam sektor minyak, gas dan tenaga dilaksanakan sepenuhnya, susulan komitmen pelaburan berterusan oleh Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) menerusi Tinjauan Aktiviti (PAO) terbaharunya.
Majlis itu menyambut baik hala tuju pelaburan PETRONAS yang merangkumi perbelanjaan modal dan operasi bagi memastikan kesinambungan bekalan pengeluaran serta memenuhi permintaan tenaga negara.
Bagaimanapun, MOGSC menjelaskan walaupun kontrak huluan jangka panjang utama meliputi tempoh tiga hingga lima tahun akan datang, sebahagian besar kontrak tersebut distrukturkan secara panggilan kerja (call-out) yang tidak semestinya diterjemahkan kepada jumlah kerja sebenar yang komited.
“Majlis berharap aktiviti yang diunjurkan akan direalisasikan sepenuhnya bagi memastikan limpahan manfaat kepada keseluruhan rantaian nilai industri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, MOGSC turut menggesa agar penjelasan lebih terperinci diberikan berhubung peluang di bawah entiti tenaga baharu PETRONAS, Gentari, serta segmen tenaga baharu lain bagi menyokong pemain perkhidmatan dan peralatan minyak, gas dan tenaga (OGSE) yang ingin mempelbagaikan perniagaan ke arah sektor peralihan tenaga.
Bagi sektor hiliran pula, majlis itu menekankan keperluan ketelusan lebih jelas terhadap pelan perbelanjaan modal untuk projek kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) baharu.
Langkah itu penting bagi membolehkan pemain industri membuat perancangan strategik serta memperkukuh keupayaan menyokong pembangunan masa depan.
“MOGSC berharap projek akan datang dapat memberi manfaat bermakna kepada ekosistem tempatan melalui penyertaan kandungan tempatan yang disasarkan, khususnya di mana keupayaan Malaysia telah tersedia,” katanya.
Walaupun projek berskala besar dan kompleks lazimnya dianugerahkan kepada kontraktor asing berikutan kelebihan kewangan dan teknikal, MOGSC menegaskan pendekatan strategik perlu diambil bagi memastikan syarikat tempatan turut serta dalam pembangunan tersebut.
Selain itu, majlis berkenaan menggesa persediaan awal dilakukan dalam kalangan pemain tempatan menjelang pelaksanaan Comprehensive and Progressive Agreement for Trans-Pacific Partnership (CPTPP) yang dijangka berkuat kuasa menjelang 2027.
Menurut MOGSC, walaupun kekal berhati-hati terhadap cabaran industri, PAO terbaharu itu mencerminkan komitmen berterusan PETRONAS untuk melabur dan memperkukuh daya tahan sektor minyak, gas dan tenaga negara.
“MOGSC komited untuk terus bekerjasama rapat dengan PETRONAS, kerajaan dan pihak berkepentingan industri dalam memperkukuh ekosistem OGSE Malaysia serta menyokong pembangunan syarikat tempatan sebagai juara serantau,” katanya. - DagangNews.com








