KUALA LUMPUR 1 Dis – MN Holdings Berhad diyakini terus mencatat prestasi kukuh pada tahun kewangan 2026, berikutan buku tempahan dan tender yang besar serta pelbagai projek berprofil tinggi pada tahun depan, kata Maybank Investment Bank.
Syarikat itu mencatat keuntungan bersih teras pada 1QFY26 naik 206% kepada RM21.6 juta, disokong oleh peningkatan hasil 108% YoY daripada projek substation dan pusat data.
Maybank IB berkata, buku tempahan MN Holdings kini bernilai RM864 juta, memberikan kepastian pendapatan jangka sederhana, manakala buku tender aktif sebanyak RM1.2 bilion pula menunjukkan potensi kontrak baharu yang mampu menambah pendapatan dan memperkukuh aliran tunai syarikat.
“Ini termasuk projek untuk pelanggan pusat data serta pelbagai projek TNB dan solar yang sedang dalam proses bidaan.
“Selain itu, MN Holdings terlibat dalam projek berprofil tinggi dan strategik seperti pembangunan substation 275kV untuk pusat data, kerja sambungan solar LSS5/LSS5+, dan projek substation TNB berskala besar.
“Dengan rekod pelaksanaan mantap serta pendedahan strategik dalam sektor digital dan tenaga, MN Holdings kekal menarik sebagai pilihan pelaburan bagi pelabur yang mencari pertumbuhan berterusan,” kata Maybank IB dalam nota kajiannya.
Firma tersebut berkata, tiada perubahan dibuat pada ramalan pendapatan.
“Kami mengekalkan saranan Beli dengan harga sasaran RM2.27 berdasarkan 23x EPS FY26E,” kata Maybank IB.
Keuntungan pada suku kedua FY26, disokong oleh projek pusat data Customer C bernilai RM169.9 juta dan Customer E sebanyak RM180 juta, serta kerja sambungan substation untuk Customer A berjumlah RM92.5 juta.
Maybank IB berkata, projek-projek ini masih berjalan aktif dan memberikan sumbangan signifikan kepada aliran pendapatan syarikat.
“Walaupun majoriti projek pusat data dijangka selesai pada separuh pertama FY26, kami kekal optimis dengan buku tender aktif bernilai RM1.2 bilion yang menunjukkan potensi kontrak baharu.
“Syarikat kini membida 3–4 projek DC baharu di Cyberjaya dan Johor dengan nilai dianggarkan RM515 juta, selain fasa pengembangan CY26 oleh Customer A dan E bernilai kira-kira RM510 juta.
“Selain itu, MN Holdings menumpukan perhatian kepada projek solar berskala besar, menyasarkan 3–4 projek bernilai RM30–50 juta setiap satu berkaitan program LSS5 dan LSS5+. Sasaran ini dianggap realistik berasaskan rekod prestasi syarikat dengan pemain industri solar seperti Solarvest, ERS Energy, dan Nur Renewables, yang dijangka dilaksanakan pada separuh pertama 2026,” katanya. - DagangNews.com








