MMC Ports catat rekod kendalian kargo terbaik melepasi 20 juta TEU pada 2025 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MMC Ports catat rekod kendalian kargo terbaik melepasi 20 juta TEU pada 2025

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 7 Jan – Empat pelabuhan milik MMC Port Holdings Berhad (MMC Ports) mencatatkan prestasi terbaik setakat ini dengan kejayaan mengendalikan muatan melepasi 20 juta unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) sepanjang 2025.

 

Empat pelabuhan tersebut ialah Pelabuhan Tanjung Pelepas Sdn Bhd (PTP), Johor Port Berhad, Northport (Malaysia) Bhd, Penang Port Sdn Bhd dan Tanjung Bruas Port Sdn Bhd.

 

MMC Ports, anak syarikat milik penuh MMC Corporation Berhad, berkata pencapaian itu didorong oleh pelaksanaan berdisiplin strategi transformasi, pendigitalan, pengembangan infrastruktur serta pembangunan modal insan, yang terus meningkatkan keupayaan dan daya saing operasinya di peringkat serantau.

 

PTP muncul sebagai penyumbang utama apabila berjaya melepasi paras 13 juta dan 14 juta TEU pada 2025, menjadikannya pelabuhan tunggal pertama di Malaysia yang mencapai pencapaian tersebut.

 

Pelabuhan itu turut mencatat rekod operasi baharu termasuk 189,306 pergerakan kontena dalam seminggu, 15,041 pergerakan dalam satu syif 12 jam dan 1,442 pergerakan dalam sejam. 

 

PTP juga dipilih sebagai Hab Utama Asia bagi Kerjasama Gemini dan dinamakan Pelabuhan Paling Pesat Berkembang di Dunia bagi separuh pertama 2025 oleh Alphaliner.

 

Northport pula mencatatkan tahun rekod dengan pengendalian kontena tahunan tertinggi sebanyak 3.80 juta TEU dan kargo konvensional tertinggi mencecah 12.90 juta tan berat kargo (FWT).

 

Pelabuhan itu turut merekodkan pengendalian kontena bulanan tertinggi sebanyak 366,131 TEU pada Oktober 2025 serta kargo konvensional bulanan tertinggi sebanyak 1.33 juta FWT pada September 2025.

 

Johor Port merekodkan jumlah kontena tahunan tertinggi sebanyak 1.08 juta TEU, dengan rekod bulanan 103,153 TEU pada Ogos 2025 dan rekod harian sebanyak 8,876 TEU pada November 2025. 

 

Jumlah kargo konvensional yang dikendalikan pelabuhan itu mencecah 16.95 juta FWT.

 

Sementara itu, Penang Port mencatat peningkatan jumlah penumpang feri kepada 3.13 juta orang pada 2025, naik 8.96% berbanding 2024, sekali gus mengukuhkan perkhidmatan feri sebagai pilihan utama perjalanan antara tanah besar dan pulau. 

 

Tanjung Bruas Port pula merekodkan pengendalian kontena tertinggi sebanyak 31,032 TEU sejak perkhidmatan itu diperkenalkan pada 2019.

 

Pengerusi MMC Ports, Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh berkata, pencapaian melepasi 20 juta TEU merupakan hasil pelaburan berterusan, kerjasama kukuh dan komitmen berterusan terhadap kecemerlangan operasi.

 

“Ini bukan sekadar pencapaian angka, tetapi mencerminkan usaha berterusan kami dalam membangunkan pelabuhan yang berdaya saing, mampan dan bersedia menghadapi masa depan,” katanya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif MMC Ports, Dato’ Azman Shah Mohd Yusof pula berkata kejayaan itu membuktikan keberkesanan inisiatif transformasi yang dilaksanakan kumpulan, termasuk pendigitalan dan pengembangan infrastruktur.

 

Beliau berkata, pencapaian 2025 memberikan momentum kukuh kepada MMC Ports untuk melangkah ke fasa pertumbuhan seterusnya, seiring dengan persiapan menyambut ulang tahun ke-20 penubuhan kumpulan itu pada 2026.

 

Menurut MMC Ports, penambahbaikan strategik yang dilaksanakan meletakkan kumpulan itu pada kedudukan terbaik untuk memenuhi permintaan perdagangan masa hadapan serta mengekalkan daya saing jangka panjang dalam landskap logistik global yang semakin mencabar. - DagangNews.com