KUALA LUMPUR 27 Nov – MKH Oil Palm (East Kalimantan) Berhad (MKHOP) mencatatkan keuntungan bersih tertinggi bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2025 (FY25), dengan lonjakan 29% kepada RM82.8 juta berbanding RM64.2 juta pada FY24, disokong sumbangan awal jualan minyak isirung sawit mentah (CPKO).
Menurut MKHOP dalam kenyataan, hasil bagi FY25 turut meningkat 3.1% kepada RM363.2 juta berbanding tahun sebelumnya, dipacu oleh harga jualan purata CPO dan isirung sawit (PK) yang lebih tinggi serta permulaan jualan CPKO sejak Februari 2025.
Sejajar prestasi kewangan yang memberangsangkan itu, Lembaga Pengarah MKHOP meluluskan dividen interim kedua sebanyak 2 sen sesaham bagi FY25, yang akan dibayar pada 30 Disember 2025 kepada pemegang saham yang tersenarai dalam Rekod Pendeposit pada 12 Disember 2025.
Berdasarkan harga saham sekitar 62.5 sen, dividen penuh sebanyak 4 sen bagi FY25 memberi hasil dividen sekitar 6.4%, sekali gus menjadikan MKHOP antara kaunter perladangan yang menawarkan pulangan dividen yang menarik kepada pelabur.
Bagi suku keempat berakhir 30 September 2025, syarikat mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM13.9 juta dengan hasil RM85.8 juta.
Dari segi harga, purata harga jualan CPO setiap Metrik Tan (MT) selepas ditolak duti eksport dan levi di Indonesia bagi suku keempat direkodkan pada RM3,582, manakala bagi tahun penuh, purata harga jualan CPO/MT adalah RM3,785.
Jumlah pengeluaran buah tandan segar (FFB) bagi suku keempat mencecah 86,322 MT, menjadikan jumlah pengeluaran FFB setahun penuh sebanyak 385,718 MT.
Dari sudut imbangan kewangan, MKHOP kekal kukuh dengan tahap pinjaman yang hampir tidak wujud. Paras tunai syarikat kekal hampir pada paras tertinggi iaitu RM242.3 juta, walaupun telah melaksanakan pengambilalihan tanah pada Ogos lalu.
Pada 26 Ogos 2025, syarikat mengumumkan pengambilalihan 100% kepentingan dalam PT. Tunas Tani Tutus yang memiliki kawasan tanah seluas kira-kira 3,096.95 hektar (ha) pada harga RM9.1 juta.
Hasil pengambilalihan itu, MKHOP kini memiliki jumlah kawasan tanah seluas 21,302 hektar, termasuk kawasan ditanam dan matang berkeluasan 17,009 hektar.
Pengerusi MKHOP, Tan Sri Alex Chen Kooi Chiew berkata, pengambilalihan PT. Tunas Tani Tutus telah menerima kelulusan daripada Kementerian Hukum Indonesia pada 20 Oktober, sekali gus menjadikan syarikat itu kini sebagai anak syarikat MKHOP.
“Syarikat telah memulakan kerja-kerja awal di tanah baharu ini dan akan memulakan penanaman pertama tidak lama lagi,” katanya.
Beliau berkata, prospek kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2026 kekal positif dengan permintaan pasaran yang kukuh terhadap CPO, yang kini diniagakan pada sekitar RM3,350/MT hingga RM3,550/MT selepas ditolak levi dan duti eksport di Indonesia.
“Dengan kedudukan tunai yang kukuh, syarikat berada dalam keadaan bersedia untuk merebut sebarang peluang atau melaksanakan penggabungan dan pengambilalihan yang mungkin timbul,” katanya.
Berdasarkan faktor-faktor itu, katanya, Lembaga Pengarah MKHOP menjangkakan keputusan yang memuaskan bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2026. - DagangNews.com








