KUALA LUMPUR 12 Mac — MKH Berhad memaklumkan bahawa Mahkamah telah membenarkan permohonannya untuk membatalkan saman yang difailkan oleh 47 plaintif terhadap syarikat itu pada Disember 2025.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu memaklumkan bahawa saman tersebut difailkan oleh Mohd Zikri bin Md. Zaini bersama 46 individu lain terhadap Hillpark Resources Sdn. Bhd. dan MKH Berhad, yang secara kolektif dirujuk sebagai defendan.
Bagaimanapun, MKH telah memfailkan permohonan untuk membatalkan saman berkenaan terhadap syarikat itu, dan Mahkamah memutuskan untuk membenarkan permohonan tersebut.
Sehubungan itu, Mahkamah turut memerintahkan plaintif membayar kos sebanyak RM1,500 kepada MKH.
Pada 2 Disember lalu, MKH dan anak syarikatnya Hillpark Resources disaman oleh 47 pemilik rumah di Shah Alam yang menuntut lebih RM15 juta, mendakwa kecuaian pengurusan kolam takungan menyebabkan dua kejadian banjir dalam tempoh enam bulan.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia ketika itu, MKH berkata pemilik rumah di Bandar Hillpark, Puncak Alam, yang diketuai oleh Mohd Zikri Md Zaini, telah memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Selasa terhadap MKH dan Hillpark Resources, yang merupakan pemaju perbandaran tersebut.
Para plaintif mendakwa MKH dan Hillpark Resources gagal melaksanakan tanggungjawab perundangan serta kejuruteraan dalam pembinaan dan penyelenggaraan kolam takungan, yang didakwa menjadi punca kepada kejadian banjir pada 29 Disember 2024 dan 23 April 2025 di kawasan kediaman mereka.
Mereka menuntut antara lain ganti rugi khas sebanyak RM1.03 juta, ganti rugi am RM500,000 bagi setiap rumah untuk 28 unit berjumlah RM14 juta, selain ganti rugi teladan yang akan ditentukan oleh mahkamah.
Selain tuntutan kewangan, para pemilik rumah turut memohon perintah mahkamah supaya MKH dan Hillpark Resources membina semula kolam takungan mengikut spesifikasi yang diluluskan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), menyediakan pelan mitigasi banjir yang komprehensif serta melantik perunding kejuruteraan bebas yang diperakui JPS bagi menjalankan audit teknikal ke atas struktur tersebut.- DagangNews.com








