MITI unjur pertumbuhan 5% jumlah perdagangan pada FY25, naik berbanding RM2.87 trilion pada FY24 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MITI unjur pertumbuhan 5% jumlah perdagangan pada FY25, naik berbanding RM2.87 trilion pada FY24

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 24 Feb — Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) mengunjurkan peningkatan sebanyak lima peratus dalam jumlah perdagangan sepanjang tahun ini atau FY25, iaitu meningkat daripada hanya RM2.87 trilion pada FY24.
 

Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ramalan positif tersebut bagaimanapun kekal tertakluk kepada pelbagai faktor luaran, termasuk aspek perubahan tarif, pelaksanaan dasar baharu dan isu potensi pertikaian perdagangan.
 

“Sama seperti Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), yang kerap menyemak unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Nasar (KDNK) diterbitkan mereka disebabkan faktor geopolitik dan geoekonomi, kami akan melakukan perkara yang sama.
 

"Jika anda tanya saya hari ini, sasaran saya untuk Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) adalah sekurang-kurangnya lima peratus pertumbuhan," katanya kepada pemberita semasa taklimat kad laporan 2024 dan tinjauan 2025 MITI hari ini.
 

Beliau namun menegaskan bahawa, secara objektif, ramalan pertumbuhan KDNK memerlukan ketangkasan dan fleksibiliti untuk dibuat pelarasan mengikut keperluan semasa yang boleh berubah secara tanpa dijangka berbanding jadual perancangan asal.
 

"Hari ini mungkin ini adalah sasaran perdagangan diunjurkan tetapi, sekiranya ada tarif dikenakan, jika ada langkah baharu lain yang diperkenalkan oleh negara tertentu, ia tentu akan ada kesan, malahan kita tidak boleh menafikannya," kata beliau.
 

Justeru Tengku Zafrul menjangkakan bahawa kadar pertumbuhan perdagangan Malaysia sepanjang tahun ini yang masih positif selari dengan unjuran KDNK untuk FY25, iaitu naik antara sebanyak 4.5 peratus sehingga boleh mencecah 5.5 peratus.
 

Pada 2024 lalu, jumlah nilai perdagangan Malaysia direkodkan Matrade telah berjaya meningkat sebanyak 9.2 peratus untuk mencapai angka RM2.87 trilion, melebihi paras kira-kira RM2 trilion untuk tahun yang keempat berturut-turut.
 

Eksport negara sepanjang tahun lepas malah melonjak kepada sebanyak RM1.5 trilion, dengan lebihan dagangan yang mengatasi import adalah berjumlah RM136.88 bilion.
 

Menurut MITI, eksport kepada rakan dagangan utama meningkat, dengan yang paling besar iaitu ASEAN sebanyak RM437.92 bilion, diikuti Amerika Syarikat (RM324.91 bilion), dan Taiwan (RM176.1 bilion). - DagangNews.com