KUALA LUMPUR 24 Nov – MISC Group dalam strategi peralihan tenaganya apabila anak syarikatnya, Petroleum and Product Shipping (AET), menandatangani kontrak pembinaan dua kapal LNG dwi-bahan api jenis Suezmax, sekali gus mengukuhkan kedudukan kumpulan dalam segmen pengangkutan tenaga rendah karbon.
Kontrak terbaharu itu disertai perjanjian Perjanjian Charter Masa (TCP) jangka panjang, sekali gus meningkatkan keupayaan pendapatan stabil kumpulan dalam pasaran yang kekal mencabar.
Dengan penambahan ini, MISC berkata kumpulannya kini dalam kedudukan lebih kukuh untuk memperluas armada dwi-bahan api yang sedang beroperasi di seluruh dunia.
Menerusi pesanan tersebut, MISC kini akan memiliki keupayaan dwi-bahan api dalam semua segmen tanker yang dikendalikan iaitu Aframax, Shuttle Tanker, Suezmax dan Very Large Crude Carrier (VLCC).
Menurut MISC, pelaburan itu mencerminkan komitmen berterusan kumpulan untuk mempercepat penggunaan penyelesaian perkapalan yang lebih bersih serta meningkatkan kecekapan tenaga bagi menyokong sasaran global mencapai sifar bersih karbon.
Pada April 2024, MISC turut melangkah ke teknologi ammonia dwi-bahan api melalui pemeteraian TCP bagi siri Aframax.
Inisiatif ini, katanya, membentuk pelan tenaga dwi-bahan api yang lebih menyeluruh, menggunakan LNG sebagai bahan peralihan terbukti sambil mempersiapkan kumpulan untuk operasi sifar karbon pada masa depan menerusi ammonia.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MISC, Zahid Osman berkata, langkah strategik tersebut menegaskan hala tuju MISC dalam mengurangkan pelepasan gas rumah kaca dan memodenkan armada.
Menurut Zahid, armada kami kini berjumlah 106 kapal. Dengan penambahan dua kapal Suezmax dwi-bahan api LNG ini, MISC Group akan mempunyai 21 unit kapal baharu dalam rangka pembaharuan armada yang dijadualkan memasuki operasi dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang. Ini merupakan antara kitaran pembaharuan terbesar dan paling progresif dalam sejarah kami,” katanya.
Beliau berkata strategi itu bukan sekadar pemodenan, tetapi langkah menyusun semula kedudukan kewangan jangka panjang melalui armada lebih baharu dan cekap tenaga, sekali gus memastikan nilai mampan kepada pemegang saham.
“Pelaburan dalam teknologi dwi-bahan api ini meletakkan kami di barisan hadapan inovasi, memastikan daya saing kami sambil menyumbang secara bermakna kepada usaha nyahkarbon global,” katanya lagi.
MISC menegaskan pelaburan strategik tersebut mengukuhkan komitmen kumpulan untuk menjadi peneraju maritim masa depan, menawarkan penyelesaian lebih rendah karbon serta meningkatkan daya tahan operasi merentas kitaran pasaran.
Dengan menggabungkan disiplin komersial dan kemajuan nyahkarbon, kumpulan itu yakin dapat meningkatkan keyakinan pemegang taruh, merapatkan kerjasama industri dan menjana nilai jangka panjang berterusan untuk ekosistem maritim global. - DagangNews.com








