KUALA LUMPUR 5 Dis – Sarawak terus memperkukuhkan kedudukannya sebagai hab pelabuhan hijau apabila Miri Port Authority (MPA) melancarkan kemudahan Shore Power atau Cold Ironing yang pertama di Miri.
Teknologi ini membolehkan kapal menggunakan tenaga elektrik dari terminal tanpa perlu menghidupkan generator diesel ketika berlabuh, sekaligus mengurangkan pelepasan karbon dan pencemaran bunyi.
Inisiatif itu adalah hasil kerjasama MPA dan TotalEnergies EP Malaysia dalam usaha memperkukuh strategi penggunaan tenaga bersih, bertujuan meningkatkan kelestarian operasi maritim dan mengurangkan pelepasan karbon di sektor pelabuhan Miri.
Pengerusi Lembaga Pelabuhan Miri, Padang Semat berkata, teknologi itu menjadi pemangkin transformasi industri maritim apabila kapal tidak lagi bergantung kepada generator diesel ketika berlabuh.
“Ia mengurangkan pelepasan karbon, pencemaran bunyi dan meningkatkan keselamatan operasi, selaras dengan aspirasi Sarawak untuk memacu agenda tenaga bersih,” katanya dalam satu kenyataan.
TotalEnergies menaja pemasangan penuh unit Shore Power di Dermaga 5 MPACCT dan komited menggunakan fasiliti itu bagi setiap operasi kapal yang berlabuh.
Teknologi ini juga meningkatkan kualiti udara dan menyediakan persekitaran kerja yang lebih selamat untuk kakitangan pelabuhan.
MPA merancang untuk memperluas kemudahan Shore Power ke semua dermaga minyak dan gas di MPACCT serta dermaga kargo Kuala Baram, menjadikan Miri hab utama pelabuhan hijau di utara Sarawak.
Inisiatif ini turut menyokong sasaran PCDS 2030 untuk mengurangkan 25 peratus pelepasan karbon di terminal pelabuhan serta menyumbang kepada aspirasi Malaysia mencapai sifar bersih karbon menjelang 2050. - DagangNews.com








