KUALA LUMPUR 7 April - Kementerian Pertahanan (MINDEF) dijangka menambah perolehan sistem pesawat tanpa pemandu (UAS) ANKA-S buatan Turkiye bagi memperkukuh keupayaan pengawasan udara negara.
Cadangan itu selari dengan perancangan untuk menggandakan keupayaan skuadron dron Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Aset berkenaan dilihat penting dalam menghadapi cabaran keselamatan semasa yang semakin kompleks.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, memaklumkan perkara itu ketika lawatan kerja ke Pangkalan Udara Labuan, Sabah baru-baru ini.

Lawatan tersebut bertujuan meninjau kesiapsiagaan aset serta operasi TUDM termasuk pengoperasian skuadron ANKA-S yang kini menjadi antara aset strategik negara.
Menurut beliau, pengoperasian sistem ANKA-S telah mentransformasikan pangkalan tersebut daripada sekadar pangkalan operasi kepada hab perisikan dan pengawasan maritim yang lebih canggih.
Sehubungan itu katanya, MINDEF akan terus mempertingkatkan keupayaan TUDM termasuk pangkalan tersebut dengan penambahan aset-aset termasuk ANKA-S yang sememangnya penting untuk negara.
Perkembangan ini secara langsung meningkatkan keupayaan pemantauan di kawasan perairan strategik khususnya di Wilayah Timur negara.


Sekiranya perkara ini dilakukan, bermakna MINDEF perlu mengemukakan permohonan belanjawan kepada kerajaan agar perolehan dapat dilaksanakan.
Perolehan tambahan sekurang-kurangnya 3 buah ANKA-S dilihat sebagai relevan dengan kehendak operasi semasa.
Tiga unit ANKA-S bersama peralatan sokongan berkaitan sebelum ini diperoleh kira-kira 3 tahun lalu dengan nilai melebihi RM400 juta.
Perolehan itu merupakan sebahagian daripada Fasa 1 Pelan Perolehan Strategik Pertahanan Negara di bawah Rancangan Malaysia Ke-12.
Ia juga sejajar dengan pelan pembangunan keupayaan TUDM menerusi pelaksanaan pelan CAP55 yang menekankan pemodenan aset udara.


Justeru, cadangan penambahan aset baharu ini dilihat sebagai kesinambungan kepada usaha memperkukuh keupayaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Langkah tersebut dijangka meningkatkan keupayaan dalam melaksanakan operasi pemantauan strategik termasuk pengawasan maritim dan pengumpulan maklumat perisikan.
Dalam masa sama, ia turut memperkukuh tahap kesiapsiagaan pertahanan serta kedaulatan negara secara menyeluruh.
Sistem ANKA-S yang dikategorikan sebagai Medium Altitude Long Endurance (MALE) mampu beroperasi pada ketinggian sehingga 30,000 kaki.
Ia juga mempunyai tempoh penerbangan antara 24 hingga 30 jam, membolehkan liputan pemantauan yang lebih luas dan berterusan.


Selain melaksanakan misi risikan, pengawasan dan tinjauan (ISR), sistem ini turut berupaya membawa pelbagai muatan mengikut keperluan operasi.
Keupayaan tersebut menjadikan ANKA-S sebagai aset pelbagai peranan yang signifikan dalam operasi moden ketenteraan.
Dalam perkembangan berkaitan, TUDM melalui No. 11 Skuadron turut mencatat sejarah apabila berjaya melaksanakan ujian penerbangan pertama pesawat ANKA-S di Pangkalan Udara Labuan.
Ujian penerbangan selama 3 jam itu menjadi sebahagian daripada persediaan sebelum penyerahan rasmi aset.
Pesawat-pesawat tersebut akan diserahkan secara rasmi kepada TUDM sedikit masa lagi.
Ini sekali gus menandakan lonjakan baharu dalam pemodenan keupayaan ISTAR TUDM di Wilayah Timur termasuk Laut China Selatan.- DagangNews.com








