KUALA LUMPUR 23 Jan - Syarikat aeroangkasa tempatan, Aerospace Technology Systems Corporation (ATSC) diberi kepercayaan bagi melaksanakan program pemanjangan jangka hayat pesawat Sukhoi SU-30MKM oleh Kementerian Pertahanan (Mindef).
Kontrak Service Life Extension Programme (SLEP) ini adalah penyelenggaraan penuh bagi memastikan pesawat tersebut boleh digunakan 10 tahun lagi.
Program SLEP ini merupakan inisiatif penting dalam memastikan kesiagaan aset strategik terus berada dalam keadaan optimum, sekali gus memperkukuhkan keupayaan pertahanan negara.
TUDM mengoperasikan 18 buah pesawat Sukhoi SU-30MKM yang menjadi tulang belakang pertahanan udara negara.

Apa yang menarik, program selenggaraan ini melibatkan usaha kolaboratif lebih daripada 75 jurutera dan juruteknik tempatan yang terlatih serta berpengalaman daripada TUDM, ATSC, serta universiti tempatan.
Ini berperanan dalam menyokong penyelidikan dan pembangunan.
Kejayaan program ini bukan sahaja memanjangkan jangka hayat pesawat tersebut hingga 10 tahun, malah ia menjimatkan kos yang agak besar berbanding penyelenggaraan di luar negara.
Selain itu, ia juga membuktikan keupayaan serta kemajuan industri pertahanan negara.
Program SLEP pesawat Sukhoi dijalankan di Pangkalan Udara Gong Kedak, Terengganu yang mana pusat selenggaraan ATSC menerusi cabang Sukhoi Technical Centre (STC) juga berada di situ.


ATSC yang ditubuhkan pada tahun 1994 merupakan subsidiari kepada National Aerospace and Defence Industries Sdn. Bhd. (NADI) susulan pembelian pesawat MiG-29N pada masa itu.
Ia bertanggungjawab menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan pada pesawat tersebut dan kemudiannya Sukhoi SU-30MKM apabila kerajaan membeli pesawat berkenaan.
Bermakna sepanjang tempoh itu ATSC telah membina kemahiran dan pengalaman dalam melaksanakan kerja-kerja kejuruteraan dan penyelenggaraan pesawat buatan Rusia.
STC diiktiraf sebagai pusat sehenti bagi penyelenggaraan pesawat Sukhoi SU-30MKM dan bekalan logistik untuk semua sistem pada pesawat termasuk peralatan bukan Rusia.
Pusat ini telah diaudit oleh DGTA dan diperakui sebagai Authorized Maintenance Organisation (AMO) & Authorized Engineering Organisation (AEO) oleh DGTA Malaysia.


Kerajaan pada 2019 bersetuju untuk meluluskan program naik taraf kesemua pesawat Sukhoi SU-30MKM bagi memastikan kelangsungan operasi pesawat tersebut.
Program ini melibatkan peruntukan sebanyak RM2.2 bilion membabitkan kesemua 18 pesawat Sukhoi secara berperingkat-peringkat.
Mengikut pelan CAP55 TUDM, pesawat-pesawat Sukhoi akan digunakan sehingga tahun 2040 sebelum Mindef melaksanakan rancangan pembelian pesawat MRCA.
Terdahulu, majlis penyerahan kontrak SLEP pesawat Sukhoi SU-30MKM telah diadakan di Pengkalan Udara Gong Kedak yang disaksikan Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin.

Turut hadir Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan.
Pada majlis sama beliau turut menyaksikan memorandum persefahaman (MoU) antara ATSC dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dalam bidang penyelidikan dan inovasi pertahanan.
Mohamad Khaled telah mengadakan lawatan ke pangkalan itu bagi meninjau kesiagaan pesawat pejuang Su-30MKM yang dioperasikan oleh No 12 Skuadron. - DagangNews.com








