MILDEF buka peluang kerjasama kemahiran automotif pertahanan dengan TVET MARA | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MILDEF buka peluang kerjasama kemahiran automotif pertahanan dengan TVET MARA

Pengurus Besar MILDEF, Salimuhar Ali (tengah) memberi penerangan kepada Nuriman (kiri) semasa melawat fasiliti MILDEF.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 24 Jun - MILDEF International Technologies Sdn. Bhd. (MILDEF) melangkah setapak dalam menjalin kerjasama kemahiran menerusi lawatan TVET MARA ke fasiliti kejuruteraannya di Sendayan Techvalley, Negeri Sembilan.

 

Lawatan ini mencerminkan komitmen MILDEF bagi memperluaskan ekosistem industri pertahanan tanah air dengan membina jaringan kerjasama.

 

MILDEF dalam kenyataan memberitahu, langkah tersebut relevan dengan status TVET MARA sebagai institusi pembangunan bakat teknikal negara. 

 

 

 

 

 

Lawatan diketuai Pengarah Bahagian Kemahiran dan Teknikal MARA, Ir. Nuriman Yusop bersama pegawai-pegawai kanan lain.

 

Kenderaan

 

Kenderaan

 

Menurut kenyataan itu, delegasi TVET MARA diberi penerangan tentang kemajuan teknologi MILDEF yang dibangunkan sepenuhnya oleh jurutera dan tenaga kerja tempatan.

 

“Antaranya taklimat korporat yang memperincikan perjalanan MILDEF daripada syarikat permulaan kepada pemain utama industri pertahanan Malaysia.

 

“Ini diikuti lawatan teknikal ke bengkel pembangunan, galeri produk dan demonstrasi bagi dua aset kebanggaan negara iaitu HMLTV Ribat dan HMAV Tarantula.

 

“Para delegasi juga diberi peluang menyaksikan sendiri keupayaan serta merasai peluang menaiki kenderaan tempur ini,’ ujar kenyataan itu.

 

Kenderaan

 

Kenderaan

 

Sesi libat urus dua hala turut diadakan untuk membincangkan potensi pelaksanaan kerjasama antara MILDEF dan TVET MARA 

 

Antaranya latihan industri bersasar, program pemindahan teknologi serta peluang penyelarasan kurikulum agar seiring dengan keperluan sebenar industri pertahanan. 

 

Tambah kenyataan itu lagi, MILDEF percaya bahawa sinergi antara pemain industri dan institusi pendidikan teknikal adalah asas penting untuk menjayakan aspirasi kemandirian pertahanan negara.

 

Ia sejajar dengan visi MILDEF yang membina kekuatan pertahanan dari tanah air oleh anak tempatan demi kedaulatan negara. - DagangNews.com