KUALA LUMPUR 15 Julai – Kumpulan MBSB mengumumkan penjenamaan semula rasmi MIDF Amanah Investment Bank Berhad (MAIB) kepada MBSB Investment Bank Berhad (MBSB IB), berkuat kuasa 10 Julai 2025, sebagai sebahagian daripada strategi transformasi menyeluruh dan penjenamaan seragam kumpulan.
Penjenamaan semula ini mencerminkan komitmen Kumpulan MBSB untuk menampilkan identiti tunggal yang utuh kepada para pelanggan, pengawal selia dan rakan kongsi, sekali gus memberi isyarat jelas mengenai kekuatan dan keluasan penawaran MBSB merentasi keseluruhan portfolionya, menurut kenyataan media kumpulan perbankan itu hari ini.
MBSB IB kini menjadi tunggak penting dalam segmen Perbankan Borong MBSB, bersama-sama Perbankan Korporat & Institusi, Pasaran Kewangan, Pengurusan Aset dan Perbankan Transaksi, kata kenyataan itu lagi.
Meskipun kerjasama rentas liputan pelanggan dan penyampaian penyelesaian telah lama dilaksanakan, penjenamaan semula ini bertujuan untuk memperkukuh sinergi tersebut di dalam Kumpulan.
MBSB IB akan terus menyumbang kepada pendapatan bukan pembiayaan Kumpulan menerusi kekuatan terasnya dalam bidang penasihatan, penyelidikan, brokeraj ekuiti dan pasaran modal – termasuk penstrukturan sukuk, pengumpulan dana ekuiti dan pembiayaan projek.
Sebagai sebahagian daripada peralihan ini, cabang penyelidikan pelaburan MAIB iaitu MIDF Research turut dijenamakan semula sebagai MBSB Research, dan akan terus menyediakan maklumat pasaran yang tepat pada masanya serta pandangan ekonomi bagi menyokong Kumpulan serta komuniti pelaburan yang lebih luas.

Ketua Pegawai Eksekutif MBSB Investment Bank, Dato’ Seri Diraja Nur Julie Gwee Ariff berkata, penjenamaan semula kepada MBSB Investment Bank menandakan era baharu bagi pihaknya.
"Kami berbangga membawa nama MBSB ketika kami terus memperkukuh kekuatan teras dalam perkhidmatan penasihatan, pasaran ekuiti dan pasaran hutang. Kami berhasrat untuk terus membuka peluang baharu dan memberikan nilai yang lebih besar kepada semua pihak berkepentingan kami.” - DagangNews.com








