KUALA LUMPUR 19 Mei – Malayan Flour Mills Berhad (MFM) merancang perbelanjaan modal sehingga RM100 juta dalam tempoh dua tahun kewangan termasuk tahun kewangan semasa berakhir 31 Disember 2026 (FY2026) bagi mengembangkan kapasiti pengilangan tepungnya di Malaysia dan Vietnam.
Pengeluar makanan ruji itu berkata, pelaburan berkenaan bertujuan memperkukuh kapasiti pengeluaran, meningkatkan kecekapan operasi serta menyokong pertumbuhan jangka panjang perniagaan pengilangan tepung kumpulan.
Menurut syarikat itu, perbelanjaan modal tersebut akan dibiayai menerusi dana dalaman dan pinjaman bank.
Daripada jumlah keseluruhan itu, kira-kira RM80 juta akan digunakan untuk pembinaan barisan pengilangan baharu anak syarikatnya, Vimaflour Ltd di Vietnam.
Langkah itu dibuat berikutan operasi di Vietnam kini hampir mencapai kapasiti maksimum selain bagi memenuhi permintaan serantau yang terus meningkat.
Baki RM20 juta pula akan digunakan untuk kerja-kerja naik taraf, automasi serta inisiatif penambahbaikan operasi di kemudahan pengilangan tepung kumpulan di Malaysia dan Vietnam.
Segmen Perdagangan Tepung dan Bijirin mencatat prestasi kukuh pada FY2025 apabila keuntungan selepas cukai terlaras meningkat 21.8% kepada RM153.6 juta berbanding RM126.1 juta tahun sebelumnya.

Timbalan Pengerusi Eksekutif merangkap Pengarah Urusan MFM, Teh Wee Chye berkata, sebagai antara pengeluar makanan ruji utama negara, kumpulan itu menyedari tanggungjawab untuk memastikan bekalan produk makanan asas kekal stabil dan tidak terganggu.
Katanya, pelaburan tersebut selari dengan momentum pertumbuhan kukuh yang dicatatkan perniagaan tepung kumpulan khususnya di Vietnam.
“Pengembangan ini akan memperkukuh kapasiti pengeluaran kami dan menyokong peningkatan permintaan serantau pada masa hadapan,” katanya dalam kenyataan sempena Mesyuarat Agung Tahunan ke-66 kumpulan itu hari ini.
Beliau berkata, pelaburan berterusan di seluruh rantaian nilai bersepadu kumpulan penting bagi meningkatkan daya tahan operasi jangka panjang selain mengukuhkan kedudukan MFM sebagai pemain keselamatan makanan yang diyakini di rantau ini.
Dalam perkembangan lain, MFM turut mengumumkan pengkomersialan rangkaian pertama makanan halal sedia dimakan (RTE) yang boleh dipanaskan menggunakan ketuhar gelombang mikro.
Rangkaian produk awal itu merangkumi Charcoal-Grilled Satay (satay panggang arang), Ayam Masak Merah, Ayam Kicap dan Ayam Kam Heong.
Mengulas pelancaran produk berkenaan, Teh berkata, kumpulan itu terus meneroka peluang baharu untuk mengembangkan segmen produk dan menyesuaikan perniagaan dengan perubahan citarasa pengguna selain memanfaatkan operasi bersepadu serta kerjasama strategik dengan Tyson Foods bagi memperkukuh kehadiran dalam segmen makanan bernilai tambah. - DagangNews.com








