KUALA LUMPUR 12 Mei - Metro Healthcare Bhd mencadangkan pelaksanaan terbitan bonus waran berdasarkan nisbah satu waran bagi setiap empat saham sedia ada yang dipegang pemegang saham syarikat itu.
Menurut pemfailan kepada Bursa Malaysia, cadangan tersebut melibatkan penerbitan sehingga 244.73 juta waran dengan tempoh matang selama lima tahun.
Setakat 21 April 2026, modal saham terbitan Metro Healthcare berjumlah RM56.29 juta melibatkan 978.91 juta saham tanpa sebarang saham perbendaharaan.
Berdasarkan harga anggaran pelaksanaan sebanyak 20 sen sesaham waran, syarikat itu berpotensi menjana hasil kasar sehingga RM48.9 juta sekiranya semua waran dilaksanakan.
Harga pelaksanaan tersebut mewakili diskaun kira-kira 2.4% berbanding purata harga wajaran volum lima hari saham syarikat sebanyak 20.5 sen sehingga 21 April lalu.
Metro Healthcare berkata, dana yang diperoleh daripada pelaksanaan waran itu akan digunakan bagi tujuan modal kerja, perbelanjaan modal serta potensi pembayaran balik pinjaman.
“Cadangan ini dijangka mengukuhkan kedudukan kewangan kumpulan selain menyediakan fleksibiliti kewangan tambahan untuk menyokong pelan pengembangan perniagaan,” katanya.
Cadangan itu tertakluk kepada kelulusan pemegang saham dalam mesyuarat agung luar biasa yang akan diadakan pada tarikh kemudian.
Pelaksanaan terbitan bonus waran tersebut dijangka diselesaikan menjelang suku ketiga tahun ini dengan RHB Investment Bank Bhd dilantik sebagai penasihat utama.
Metro Healthcare yang mengendalikan rangkaian pusat obstetrik, ginekologi dan persenyawaan in-vitro (IVF) kini berada dalam fasa pengembangan perniagaan.
Pada Oktober tahun lalu, syarikat itu mengumumkan cadangan pengambilalihan RMC Specialist Sdn Bhd, syarikat milik naib pengerusi eksekutif dan pemegang saham utamanya, Dr Tay Swi Peng @ Tee Swi Peng.
Langkah itu dijangka membuka laluan kepada Metro Healthcare untuk memasuki segmen hospital pelbagai disiplin.
RMC Specialist merancang membangunkan tanah komersial seluas empat ekar di Bandar Rimbayu menjadi hospital pelbagai disiplin dengan keluasan binaan mencecah 340,000 kaki persegi.
Fasa pertama pembangunan itu melibatkan penyediaan 120 katil dan lima dewan bedah, dengan kerja pembinaan dijangka bermula pada suku kedua 2026 sebelum siap sepenuhnya menjelang suku keempat 2027.
Metro Healthcare berkata, hospital baharu itu dijangka memperluaskan penawaran perkhidmatan kumpulan serta menjadi sumber pendapatan tambahan pada masa depan.
Bagaimanapun, syarikat itu mengakui pembangunan hospital tersebut berdepan beberapa risiko termasuk peningkatan kos operasi terutama berkaitan tenaga kerja, persaingan dalam sektor penjagaan kesihatan swasta, kebergantungan kepada tenaga profesional perubatan serta perubahan keperluan kawal selia. - DagangNews.com








