Meridian berdepan tindakan digantung Bursa Malaysia setelah gagal kemukakan laporan tahunan 30 Sept ini | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Meridian berdepan tindakan digantung Bursa Malaysia setelah gagal kemukakan laporan tahunan 30 Sept ini

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 25 Sept - Pemaju hartanah Meridian Berhad tidak dapat memenuhi tarikh akhir bagi mengeluarkan Laporan Tahunan untuk tempoh kewangan berakhir 31 Mei 2025, yang merangkumi penyata kewangan beraudit bersama laporan juruaudit dan pengarah.

 

Di bawah Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad (MMLR), syarikat tersenarai diwajibkan mengeluarkan laporan tahunan dalam tempoh empat bulan selepas tamat tahun kewangan – bagi Meridian, tarikh akhir ditetapkan pada 30 September 2025.

 

Namun Meridian memaklumkan Bursa Malaysia, laporan berkenaan dijangka hanya dapat diterbitkan dalam tempoh dua minggu selepas 30 September 2025.

 

Berdasarkan peraturan Bursa, sekiranya Meridian gagal mengeluarkan Laporan Tahunan dalam tempoh lima hari pasaran selepas tarikh akhir – iaitu pada atau sebelum 8 Oktober 2025 – sekuriti syarikat berkenaan akan digantung serta-merta daripada dagangan.

 

Penggantungan akan berkuat kuasa pada hari pasaran berikutnya dan hanya akan ditarik balik selepas laporan tersebut diumumkan, melainkan ditentukan sebaliknya oleh Bursa.

 

Keadaan ini meletakkan Meridian pada kedudukan kritikal kerana sebarang kegagalan mematuhi tempoh tambahan boleh menyebabkan penggantungan dagangan, sekali gus memberi kesan kepada keyakinan pelabur serta kecairan saham.

 

Lembaga Pengarah syarikat memberi jaminan, pihaknya sedang berusaha memuktamadkan laporan tersebut dan akan membuat penyerahan kepada Bursa Malaysia dalam tempoh masa yang disasarkan.

 

Meridian Berhad, yang dikenali dengan aktiviti pembangunan hartanah, berdepan cabaran dalam beberapa tahun kebelakangan ini susulan pasaran hartanah yang tidak menentu. Kelewatan laporan kewangan ini dijangka menarik perhatian rapat pelabur serta pihak pengawal selia. - DagangNews.com