Media Prima catat hasil RM198.9 juta pada 1QFY25 disokong pendapatan bukan pengiklanan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Media Prima catat hasil RM198.9 juta pada 1QFY25 disokong pendapatan bukan pengiklanan

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 26 NovMedia Prima Bhd mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 2% kepada RM198.9 juta pada 1QFY25 berakhir 30 September 2025, berbanding RM194.9 juta bagi tempoh sama tahun lalu, disokong pertumbuhan kukuh pendapatan bukan pengiklanan.

 

Dalam tempoh sama, kumpulan media bersepadu terbesar negara ini turut merekodkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM1.6 juta, meningkat daripada RM1.4 juta tahun sebelumnya, mencerminkan keberkesanan strategi kepelbagaian perniagaan yang dilaksanakan.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, peningkatan pendapatan bukan pengiklanan berjaya mengimbangi kelemahan pendapatan pengiklanan susulan perubahan landskap pasaran.

 

Segmen beli-belah dari rumah muncul sebagai penyumbang utama pertumbuhan apabila mencatatkan lonjakan hasil sebanyak 21%, disokong jualan lebih tinggi menerusi platform televisyen serta peluasan rangkaian produk.

 

Sementara itu, bahagian pengiklanan luar, Big Tree, merekodkan pertumbuhan 7% berikutan peningkatan hasil paparan, manakala segmen penyiaran mencatatkan pertumbuhan 4%, dipacu sumbangan lebih kukuh daripada pendapatan bukan pengiklanan.

 

Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri Syed Hussian Aljunid berkata kumpulan terus menunjukkan daya tahan dalam persekitaran pasaran yang mencabar.

 

“Lembaga pengarah kekal yakin terhadap strategi kumpulan untuk memacu kecekapan operasi serta meneroka bidang pertumbuhan mampan baharu, berpandukan tadbir urus yang kukuh dan komitmen terhadap penciptaan nilai jangka panjang,” katanya.

 

Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Datuk Rafiq Razali berkata prestasi suku pertama itu mencerminkan keberkesanan strategi bersepadu serta keupayaan kumpulan menyesuaikan diri dalam landskap media yang semakin dinamik.

 

“Pertumbuhan pendapatan bukan pengiklanan membuktikan usaha kepelbagaian aliran pendapatan kumpulan kini mula membuahkan hasil, disokong kerjasama merentas semua bahagian serta pelaburan berterusan dalam keupayaan digital, kandungan dan data,” katanya.

 

Beliau menambah, pihaknya mengambil pendekatan berhati-hati bagi baki tahun kewangan susulan jangkaan tekanan terhadap perbelanjaan pengiklanan, sambil terus memacu fasa seterusnya strategi pertumbuhan merentas platform, pengoptimuman kecekapan operasi dan penyampaian nilai kepada pemegang saham.

 

Dalam aspek tanggungjawab sosial korporat, Media Prima turut menyalurkan RM570,000 bagi suku tersebut melalui Tabung Kemanusiaan Media Prima–NSTP untuk bantuan perubatan dan pembangunan komuniti, hasil sokongan sumbangan orang ramai. - DagangNews.com