Media Chinese catat kerugian bersih RM69 juta bagi FY25/26 disebabkan kejatuhan ketara segmen penerbitan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Media Chinese catat kerugian bersih RM69 juta bagi FY25/26 disebabkan kejatuhan ketara segmen penerbitan

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 16 JulaiMedia Chinese International Limited (MCIL) mencatatkan kerugian bersih sebanyak AS$16.97 juta (kira-kira RM68.66 juta) bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026.

 

Angka dilaporkan tersebut merupakan penyusutan 99% berbanding kerugian hanya AS$8.53 juta (RM34.72 juta) yang pernah dilaporkan kumpulan media berbahasa Cina itu pada tahun kewangan sebelumnya.

 

Peningkatan berkenaan sebahagian besarnya berpunca daripada kemerosotan struktur secara berterusan dalam segmen penerbitan dan percetakan, serta kos operasi yang tinggi dalam segmen pelancongan.

 

"Selain itu, prestasi terkesan oleh isu perbelanjaan sekali penamatan operasi di Kanada melibatkan pampasan kakitangan yang berjumlah AS$3.1 juta (RM12.61 juta)," maklum MCIL kepada Bursa Malaysia.

 

Pendapatan keseluruhan kumpulan bagi tempoh FY25/26 turut menurun sedikit kepada AS$155.85 juta (RM634.45 juta) berbanding sebanyak AS$157.53 juta dicatatkan pada tahun kewangan sebelumnya.

 

Hasil segmen penerbitan dan percetakan juga merosot 8.6% disebabkan penghijrahan perbelanjaan pengiklanan daripada platform cetak ke digital, selain sentimen perniagaan yang semakin lemah.

 

akhbar Cina_DagangNews2026
Gambar hiasan

 

Segmen pelancongan MCIL pula mencatatkan pertumbuhan hasil 15.5% disokong permintaan untuk pakej premium, namun keuntungan dihadkan oleh peningkatan kos operasi dan ketidaktentuan geopolitik.

 

"Secara keseluruhan, kumpulan masih lagi mengekalkan kedudukan tunai dan setara tunai sebanyak AS$95.36 juta (RM388.23 juta) dengan kadar penggearan atau hutang bersih adalah sifar," jelasnya.

 

Pengerusinya, Tiong Choon dalam kenyataan memaklumkan, kumpulan kini mula memberi tumpuan lebih kepada pelaksanaan strategi digital yang lebih disiplin bagi menangani perubahan landskap media.

 

Perkembangan baharu ini ujar beliau, termasuk pelaburan secara berterusan dalam platform digital, analisis audiens, dan penggunaan kecerdasan buatan (AI) untuk meningkatkan kecekapan operasi MCIL.

 

Mengenai prospek masa depan, persekitaran operasi dijangka mencabar akibat ketegangan di Timur Tengah yang memberi kesan kepada segmen pelancongan, serta persaingan sengit platform teknologi. 

 

"Bagaimanapun, kumpulan melihat peluang dalam permintaan berterusan untuk pengalaman perjalanan premium dan sambutan ulang tahun ke-80 China Press sebagai pemangkin pengiklanan," kata Tiong.

 

Pada masa sama, MCIL komited untuk mengekalkan pengurusan kos yang berdisiplin sambil meneroka aliran pendapatan baharu melalui perniagaan digital dan acara. - DagangNews.com