MCOM perolah tender pengiklanan digital syarikat Korea Selatan hampir RM800,000 selama setahun | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MCOM perolah tender pengiklanan digital syarikat Korea Selatan hampir RM800,000 selama setahun

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 11 MacMCOM Holdings Berhad memperoleh tender bagi kerjasama pengiklanan digital dan pengurusan penjanaan trafik dengan syarikat Korea Selatan, AddVersion Inc pada 10 Mac 2026.


Menurut kumpulan tersebut, kerja-kerja terbaharu itu diterima anak syarikat miliknya, MCOM Network Sdn Bhd yang dilantik sebagai penyedia perkhidmatan dengan tempoh kerjasama selama setahun.


Ia melibatkan pengurusan kempen pengiklanan dalam talian, pemasaran media sosial, penjanaan trafik dan penerajuan data, promosi aplikasi perkhidmatan serta kempen pengambilan pengguna tambahan.


"Caj perkhidmatan bulanan tetap itu adalah sebanyak AS$16,500 (kira-kira RM64,617) yang perlu dibayar secara hadapan setiap bulan," jelas MCOM dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia hari ini.


Berdasarkan kepada kadar pertukaran purata mata wang asing dengan nilai RM3.90 bagi setiap AS$1, tender tersebut mencecah sebanyak AS$198,000 untuk 12 bulan atau bersamaan kira-kira RM772,000. 


Syarikat menegaskan tender ini tidak menjejaskan modal terbitan atau pegangan pemegang saham utama, namun dijangka menyumbang positif kepada keuntungan dan aset bersih sepanjang tempoh perjanjian.


MCOM juga menyatakan tiada risiko material dijangka selain risiko operasi biasa, dan tiada pengarah, pemegang saham utama atau individu berkepentingan ada kepentingan dalam perjanjian itu.


"Lembaga pengarah menegaskan, setelah meneliti semua aspek, ia adalah selaras dengan kepentingan terbaik syarikat dan tidak memerlukan kelulusan pemegang saham atau pihak berkuasa," katanya. - DagangNews.com