MCMC tawar biasiswa bagi mengasah bakat muda dalam Komunikasi dan Multimedia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MCMC tawar biasiswa bagi mengasah bakat muda dalam Komunikasi dan Multimedia

Oleh JOHARDY IBRAHIM

CYBERJAYA 24 Jun – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memperkenalkan dua program biasiswa — Biasiswa MCMC LEGASI dan Biasiswa MCMC CARE — yang dirangka bagi membentuk bakat masa depan dalam sektor komunikasi dan multimedia (C&M) yang semakin berkembang pesat di Malaysia.

 

Ini merupakan kali pertama MCMC menawarkan biasiswa — satu inisiatif yang mencerminkan komitmen jangka panjang dalam membangunkan barisan bakat berkemahiran tinggi dan demi memajukan sektor komunikasi dan multimedia negara.

 

Kedua-dua biasiswa ini menyediakan pembiayaan penuh serta pendedahan industri secara berstruktur bagi melengkapkan bakat muda Malaysia dengan kemahiran dalam bidang pengajian seperti telekomunikasi, media, dasar pengawalseliaan, keselamatan siber dan Internet Benda (IoT).

 

Biasiswa ini menunjukkan komitmen MCMC untuk melahirkan bakat muda yang dapat menyokong kemajuan digital negara. Melalui peluang berdasarkan merit dan keperluan, MCMC membantu golongan belia berkembang, menyumbang secara bermakna, dan membina masa depan dalam bidang komunikasi dan multimedia.

 

Mengenai Biasiswa MCMC LEGASI

Biasiswa MCMC LEGASI (Leaders of the Next-Generation Scholarship) merupakan biasiswa berasaskan merit yang ditawarkan kepada pelajar cemerlang yang mengikuti pengajian peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang berkaitan komunikasi dan multimedia di universiti terkemuka sama ada dalam atau luar negara.

 

Selain pembiayaan penuh bagi yuran pengajian dan kos sara hidup, program ini turut menawarkan penempatan latihan industri serta jaminan pekerjaan di MCMC.

 

Penerima biasiswa akan didedahkan kepada bidang seperti pembangunan peraturan, infrastruktur digital, inovasi dasar, dan keselamatan rangkaian.

 

Mereka juga akan menerima latihan dan pensijilan dalam pelbagai kemahiran bagi memastikan mereka bersedia untuk memimpin sektor ini selepas tamat pengajian.

 

Mengenai Biasiswa MCMC CARE

Biasiswa MCMC CARE merupakan biasiswa berasaskan keperluan yang bertujuan membantu pelajar berpotensi tinggi daripada komuniti yang kurang berkemampuan untuk melanjutkan pengajian ijazah sarjana muda di universiti awam tempatan.

 

Selain bantuan kewangan penuh, para penerima biasiswa juga akan mendapat peluang menjalani latihan industri di MCMC.

 

Maklumat Permohonan Permohonan bagi kedua-dua program biasiswa ini dibuka hari ini pada 24 Jun 2025 hingga 24 Julai 2025.

 

Sebarang makluman terkini akan dikongsikan menerusi platform media sosial rasmi MCMC. Penerima biasiswa yang berjaya akan dihubungi pada Ogos 2025.

 

Untuk maklumat lanjut berkaitan syarat kelayakan dan permohonan dalam talian, sila layari: https://mcmc.gov.my/academy/en/scholarships-1 - DagangNews.com