KUALA LUMPUR 12 Feb – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memulakan Rundingan Awam berkaitan cadangan kerangka kawal selia bagi Pelan Keselamatan Dalam Talian.
Langkah ini termasuk draf Kod Pengurangan Risiko dan Kod Perlindungan Kanak-Kanak sebagai sebahagian daripada pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA).
MCMC dalam satu kenyataan memaklumkan kerangka kawal selia dan draf kod yang dicadangkan bertujuan mempertingkatkan keupayaan platform dalam talian dalam mengurus risiko keselamatan, dengan penekanan khusus terhadap perlindungan kanak-kanak, keluarga dan golongan rentan.
“Dokumen ini menetapkan keperluan jelas kepada penyedia perkhidmatan untuk mengambil langkah munasabah dan berkesan bagi mengurangkan kemudaratan dalam talian secara praktikal.
“Melalui Rundingan Awam ini, MCMC membuka ruang kepada orang awam untuk bersama-sama membentuk ekosistem dalam talian yang lebih selamat.
“Pandangan berhubung keberkesanan dan kebolehlaksanaan langkah-langkah untuk meningkatkan tahap perlindungan keselamatan dalam talian amat dialu-alukan,” kata MCMC.
Sehubungan itu, orang awam, pemain industri, organisasi masyarakat sivil serta pihak berkepentingan digalakkan meneliti dokumen rundingan dan mengemukakan maklum balas bertulis kepada MCMC, sama ada secara fizikal atau dalam bentuk elektronik, selewat-lewatnya pada 13 Mac 2026, pukul 5 petang.
Untuk maklumat lanjut, dokumen rundingan awam mengenai cadangan kerangka kawal selia bagi Pelan Keselamatan Dalam Talian boleh dilayari di [https://mcmc.gov.my/en/onsa/media/announcements/public-consultation-on-the-online-safety-plan].
Draf Kod Pengurangan Risiko dan Kod Perlindungan Kanak-Kanak pula boleh diakses di [https://mcmc.gov.my/en/onsa/media/announcements/public-consultation-on-the-codes-of-the-duties-und]. - DagangNews.com








