KUALA LUMPUR 14 Nov – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengunjungi 359 premis peranti komunikasi di seluruh negara bagi memberikan penerangan kepada pemilik dan petugas kedai mengenai keperluan pemerakuan dan label MCMC pada peranti komunikasi.
Lawatan tersebut dijalankan di bawah program “Direct Engagement” yang bermula dari Jun 2024 sehingga November 2025.
MCMC dalam satu kenyataan memaklumkan, tindakan itu bertujuan membantu pemilik premis memahami langkah-langkah yang diambil untuk memastikan peranti adalah selamat, asli, mematuhi standard, serasi dengan rangkaian dan tidak mengganggu frekuensi komunikasi.
“MCMC mengingatkan kepada mereka bahawa menjual atau menggunakan peranti tanpa kelulusan atau label MCMC adalah satu kesalahan di bawah undang-undang.
“Seseorang yang didapati bersalah boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM300,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
“Sepanjang pelaksanaan program ini, maklum balas daripada peniaga adalah sangat positif dengan peniaga menunjukkan komitmen tinggi dan menyambut baik pendekatan turun padang MCMC,” katanya.

MCMC berkata, peniaga berjanji akan mematuhi keperluan pemerakuan dan pelabelan peranti komunikasi seperti yang ditetapkan.
Katanya, usaha itu mencerminkan komitmen berterusan MCMC untuk memastikan keselamatan pengguna terjamin.
“Langkah ini juga bertujuan memelihara integriti rangkaian komunikasi negara dengan memastikan hanya kelengkapan komunikasi yang mematuhi standard dijual di pasaran.
“Pengguna digalakkan membeli peranti yang diperakui dan mempunyai label MCMC bagi memastikan keselamatan dan kesahan produk.
“Untuk memudahkan semakan status pemerakuan, pengguna boleh menggunakan aplikasi Check Your Label (CYL),” kata MCMC.
Aplikasi CYL boleh dimuat turun melalui Apple App Store atau Google Play Store, dan pengguna hanya perlu memasukkan nombor Label ID MCMC, nombor IMEI atau nombor siri bagi mendapatkan status pemerakuan serta maklumat peranti. - DagangNews.com








