KUALA LUMPUR 29 Sept - MCE Holdings Berhad dianggar mencatatkan keuntungan besar pada tahun kewangan 2026 (FY26) dipacu beberapa pemangkin pertumbuhan utama, kata Hong Leong Investment Bank (HLIB).
Katanya, pemangkin segera ialah MCE berperanan sebagai pembekal utama komponen infotainmen dan sistem bantuan pemandu termaju (ADAS) untuk kenderaan elektrik (EV) Perodua yang dijadual dilancarkan menjelang akhir 2025.
Firma penyelidikan itu juga mengunjurkan, MCE berpotensi menjana kira-kira RM3,000 bagi setiap kenderaan, sekali gus memberi lonjakan besar kepada keuntungan. Dengan EV Perodua dijangka dilancarkan pada harga bawah RM100,000 dan disasarkan kepada pasaran massa, permintaan dijangka meningkat dengan pesat.
Selain Perodua, aliran hasil baharu dijangka bermula pada suku pertama FY26 (1Q26).
"Ia merangkumi bekalan kepada syarikat berpangkalan di AS, bagi segmen pasaran selepas jualan automotif serta kepelbagaian ke dalam pembuatan bukan automotif melalui usaha sama dengan Sounding Industries.
“Secara keseluruhan, aliran pendapatan baharu ini akan memperluas dan mengukuhkan asas keuntungan MCE,” katanya dalam satu nota kajian.
Sementara itu, MCE secara proaktif meletakkan dirinya di barisan hadapan teknologi automotif generasi baharu.
Ini dapat dilihat melalui usaha sama syarikat untuk menghasilkan radar mmWave bagi aplikasi ADAS serta memorandum persefahaman dengan ADAYO untuk menghasilkan produk kokpit pintar dan pemanduan pintar.
“Selain itu, MCE turut bekerjasama rapat dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) untuk mengintegrasikan litar bersepadu (IC) semikonduktor yang direka secara tempatan ke dalam produknya – langkah yang sejajar dengan dasar perindustrian negara.
“Kerjasama ini berpotensi membuka lebih banyak peluang apabila MIDA mempergiat usaha menarik pelaburan automotif bernilai tinggi ke Malaysia, sekali gus mengukuhkan trajektori pertumbuhan jangka panjang MCE,” kata HLIB.
Firma penyelidikan itu mengekalkan unjuran keuntungan MCE selain memberikan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) tidak berubah RM2.40 sesaham.- DagangNews.com







