McDonald’s Malaysia labur RM1 bilion, rancang buka 100 restoran baharu dalam tempoh lima tahun lagi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

McDonald’s Malaysia labur RM1 bilion, rancang buka 100 restoran baharu dalam tempoh lima tahun lagi

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 9 Feb – McDonald’s Malaysia mengumumkan pelaburan bernilai RM1 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang bagi menyokong pengembangan rangkaian restorannya, pembangunan modal insan serta sumbangan berterusan kepada pertumbuhan ekonomi negara.

 

Pelaburan tersebut merangkumi perancangan pembukaan 100 restoran baharu di seluruh negara yang akan mewujudkan lebih 10,000 peluang pekerjaan baharu untuk rakyat Malaysia sepanjang tempoh berkenaan.

 

Pengumuman itu dibuat bersempena pembukaan semula McDonald’s Titiwangsa Drive-Thru di Jalan Pahang, iaitu restoran pandu lalu pertama McDonald’s di Malaysia yang kini beroperasi semula dengan konsep Luna, yang pertama di negara ini dan kedua di Asia.

 

 

 

 

 

 

McDonald’s Malaysia mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 26 peratus pada 2025, meskipun berdepan persekitaran perniagaan yang mencabar.

 

Dalam satu kenyataan, ia memaklumkan prestasi tersebut didorong oleh permintaan pelanggan yang konsisten, penawaran nilai kompetitif serta inovasi menu dan kecekapan operasi.

 

t

 

“Ketika ini, McDonald’s Malaysia mengendalikan lebih 370 restoran di seluruh negara, dengan pengembangan agresif dirancang bagi memenuhi permintaan pengguna yang terus meningkat, khususnya di kawasan berpotensi tinggi dan komuniti membangun.

 

“Pengembangan rangkaian itu selari dengan komitmen syarikat terhadap penciptaan pekerjaan tempatan, dengan McDonald’s Malaysia mengekalkan dasar pengambilan pekerja 100 peratus rakyat tempatan dan kini menggaji lebih 16,000 kakitangan,” katanya dalam kenyataan tersebut.

 

Selain itu, syarikat turut menyokong rantaian bekalan domestik dengan kira-kira 75 peratus produknya diperoleh dan dihasilkan secara tempatan, sekali gus menyumbang kepada pengukuhan ekosistem perniagaan dan industri makanan tempatan.

 

t
Datuk Azmir Jaafar ​​

 

Menurut Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Datuk Azmir Jaafar, pertumbuhan syarikat didorong oleh pelaburan berterusan dalam restoran, tenaga kerja dan komuniti setempat sebagai teras strategi jangka panjang.

 

“Sebahagian daripada pelaburan RM1 bilion itu turut memberi tumpuan kepada pembangunan belia melalui pengembangan Akademi Vokasional McDonald’s, yang dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Sumber Manusia menerusi Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN).

 

“Program berkenaan menggabungkan latihan praktikal dan pembelajaran berstruktur, membolehkan peserta memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia dan Diploma Kemahiran Malaysia, selain meningkatkan kebolehpasaran belia dalam pasaran kerja.

 

“Sejak diperkenalkan pada 2018, lebih 5,000 belia telah dilatih menerusi program tersebut, dengan lebih 80 peratus memilih untuk meneruskan kerjaya bersama McDonald’s Malaysia, termasuk daripada golongan B40, OKU dan komuniti Orang Asli,” katanya.

 

Pelaburan itu juga merangkumi peningkatan teknologi operasi dan digital, termasuk penambahbaikan sistem tempat jualan, aplikasi mudah alih serta program kesetiaan pelanggan bagi menyokong kecekapan operasi dan pengalaman pengguna.

 

 

 

 

 

Dari sudut kelestarian, McDonald’s Malaysia terus melabur dalam inisiatif hijau seperti pemasangan panel solar di lebih 100 restoran, dengan sasaran diperluaskan ke 100 lagi restoran menjelang akhir 2026, selain usaha mengurangkan penggunaan plastik dan meningkatkan penggunaan bahan kitar semula.

 

Dengan fokus berterusan terhadap pengembangan perniagaan, pembangunan belia dan tanggungjawab sosial korporat, McDonald’s Malaysia dilihat berada pada kedudukan kukuh untuk menyumbang secara berterusan kepada pertumbuhan ekonomi dan pembangunan sosial negara dalam jangka panjang. - DagangNews.com