KUALA LUMPUR 18 Nov – MBSB Berhad (MBSB) memeterai kerjasama strategik dengan Asia Carbonx Change Plt (ACCP) bagi menyediakan laluan lebih jelas dan praktikal kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) halal untuk memenuhi keperluan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
Melalui kerjasama ini, perniagaan yang diperakui halal dan berfokus halal akan mendapat akses kepada alat tenaga boleh diperbaharui yang diiktiraf serta sokongan teknikal untuk meningkatkan pematuhan dan daya saing selaras perkembangan standard kelestarian global.
Majlis menandatangani kerjasama tersebut berlangsung sempena Kuala Lumpur Islamic Finance Forum (KLIFF) 2025 di Royale Chulan Kuala Lumpur, disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof.
MBSB diwakili oleh Ketua Perbankan Komersial Kumpulan, Noor Mohamed Amin Mohamed dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Rafe Haneef, manakala ACCP diwakili Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasasnya, Ir. Nirinder Singh Johl.
Kerjasama ini memberi tumpuan kepada usaha membantu PKS halal mempertingkat amalan ESG melalui tindakan praktikal seperti pengurusan tenaga lebih cekap dan penggunaan alat pelaporan kelestarian yang diiktiraf.
Dengan mengintegrasikan penyelesaian Renewable Energy Certificate (REC) ke dalam Program Pembiayaan Kelestarian Patuh Syariah MBSB, perniagaan, khususnya pengguna tenaga solar dapat mengakses atribut tenaga boleh diperbaharui yang disahkan bagi mengurangkan pelepasan Skop 2 dan menambah baik pelaporan kelestarian mereka.
Ini turut merangkumi proses asset onboarding dan pematuhan kepada piawaian antarabangsa IREC(E) dan I-Track, bagi memastikan setiap sijil yang ditebus adalah dapat dijejaki serta mempunyai kredibiliti tinggi.
Asia Carbonx Change Plt akan bertindak sebagai perantara rasmi yang dilantik MBSB untuk mendaftarkan, mengeluarkan, mengurus dan menebus REC bagi pihak pemilik aset solar dan pelanggan layak MBSB, memastikan proses peralihan tenaga boleh diperbaharui berlangsung secara tersusun dan telus.
Nilai tambah kepada PKS: pembiayaan lebih fleksibel, akses kepada instrumen hijau
Kerjasama ini sekali gus mengukuhkan nilai tambah MBSB kepada PKS melalui penawaran berikut:
• Margin pembiayaan sehingga 100%
• Tiada kos modal awal bagi pelanggan yang layak
• Akses kepada REC untuk pelaporan penyahkarbonan
• Peluang penjanaan pendapatan melalui monetisasi REC bagi pelanggan solar yang layak
Inisiatif ini selari dengan komitmen pembiayaan solar MBSB sebanyak RM1 bilion dan menyokong matlamat lebih besar Kumpulan untuk memobilisasi RM10 bilion pembiayaan lestari dan peralihan menjelang 2026 di bawah Rangka Kerja Pembiayaan Kelestarian dan Peralihan.
Setakat ini, MBSB telah berjaya memobilisasi RM4.73 bilion—bersamaan 47% daripada sasaran 2026.
Asia Carbonx Change Plt, sebuah syarikat penyelesaian tenaga boleh diperbaharui berpusat di Malaysia, menyediakan platform untuk penjanaan, monetisasi dan perdagangan REC yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Sijil ini membolehkan organisasi menuntut penggunaan elektrik boleh diperbaharui dan mengimbangi pelepasan Skop 2 mereka, sekali gus mengukuhkan kredensial kelestarian sambil menyokong peralihan tenaga bersih negara.
Rafe Haneef, berkata semakin banyak PKS halal kini berdepan keperluan menunjukkan amalan ESG yang lebih kukuh, namun masih bergelut memahami keperluan serta akses kepada alat yang sahih.
“Melalui kerjasama ini bersama ACCP, kami menyediakan laluan yang praktikal dan boleh dipercayai untuk PKS memulakan perjalanan ESG mereka,” katanya.
Sementara itu, Ir. Nirinder Singh, berkata misi ACCP adalah menjadikan kelestarian lebih mudah dicapai oleh semua pihak.
“Melalui kerjasama ini, PKS kini boleh memanfaatkan sijil tenaga boleh diperbaharui yang diiktiraf antarabangsa untuk menyokong pelaporan yang telus dan tindakan iklim yang boleh diukur. Kami berharap lebih banyak perniagaan Malaysia dapat mengambil bahagian dalam ekonomi hijau,” katanya. - DagangNews.com








