MBM Resources capai prestasi cemerlang pada 3QFY25, MBSB Research kekal saranan Beli | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MBM Resources capai prestasi cemerlang pada 3QFY25, MBSB Research kekal saranan Beli

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 27 Nov – MBM Resources Berhad mencatatkan keputusan kewangan suku ketiga berakhir 30 September 2025 (3QFY25) yang kukuh dan selari dengan jangkaan, dipacu prestasi stabil Perodua, sumbangan lebih tinggi daripada syarikat bersekutu serta momentum pesanan yang baik dalam segmen pembuatan, kata MBSB Research.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan Beli terhadap kaunter itu dengan harga sasaran RM5.54, berdasarkan 7 kali unjuran EPS FY26F. 

 

MBSB Research berkata, walaupun kenaikan harga saham dijangka lebih sederhana, hasil dividen yang menarik menjadikan jumlah pulangan keseluruhan melebihi 10%.

 

“MBM mencatat PATAMI teras sebanyak RM89 juta pada 3QFY25, menjadikan jumlah 9MFY25 kepada RM232.9 juta, iaitu 76 peratus daripada anggaran setahun penuh firma penyelidikan dan konsensus. 

 

“Syarikat turut mengisytiharkan dividen 17.0 sen (terdiri daripada 7.0 sen dividen interim kedua dan 10.0 sen dividen khas), menjadikan jumlah dividen bagi tempoh sembilan bulan kepada 39.0 sen dengan nisbah pembayaran 65%.

 

“Dari sudut operasi, hasil segmen perdagangan dan pemasangan kenderaan susut 2.1% tahun ke tahun kerana kekurangan stok Hino menjelang peralihan model kepada standard Euro 5, manakala segmen pembuatan alat ganti automotif meningkat 11.3% berikutan permintaan kukuh daripada pelanggan utama,” kata MBSB Research dalam nota kajiannya.

 

Sumbangan syarikat bersekutu meningkat 11.6% tahun ke tahun dan menyumbang 73% daripada PBT kumpulan, disokong oleh penyusutan yen dan volum jualan yang stabil. 

 

Firma itu berkata, secara keseluruhan, hasil kumpulan hanya menyusut 0.4% tahun ke tahun kepada RM635.9 juta, tetapi margin yang lebih baik dan cukai lebih rendah membantu meningkatkan PATAMI teras sebanyak 1.7%. 

 

“Berbanding suku sebelumnya, hasil perdagangan dan pemasangan kenderaan bertambah 4.3% manakala pembuatan alat ganti melonjak 14.5%. 

 

“Sumbangan syarikat bersekutu turut meningkat 28.4% suku ke suku. Faktor-faktor ini menyumbang kepada peningkatan 22.7% dalam PATAMI teras suku ke suku,” katanya.

 

MBSB Research tidak membuat sebarang perubahan kepada unjuran pendapatannya untuk FY25 hingga FY27. - DagangNews.com