MBAM khuatir peluasan SST jejas aliran tunai industri perkhidmatan pembinaan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MBAM khuatir peluasan SST jejas aliran tunai industri perkhidmatan pembinaan

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 11 Jun — Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM) menyatakan kekhuatiran langkah peluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) ke atas perkhidmatan pembinaan akan menjejaskan aliran tunai industri berkenaan.


Ia turut menggesa kerajaan mempertimbangkan pelaksanaan sistem itu kerana sektor pembinaan sudah dibebani pelbagai cukai ke atas bahan, buruh dan peralatan, dengan kebanyakan kontrak diberi atas dasar harga tetap dan tempoh tetap.


Tambah MBAM, semakan semula SST dengan potensi untuk permohonan retrospektif, dibimbangi boleh mengganggu kewajipan terhadap banyak kontrak sedia ada secara serius, serta membawa kepada kelewatan dan pertambahan kos baharu.

 

 

 

 

 


"Memandangkan peranan penting industri pembinaan dalam pembangunan negara, kami dengan hormatnya merayu kerajaan mempertimbangkan semula pengenaan SST ke atas perkhidmatan ini," kata persatuan itu dalam satu kenyataan.


Sektor pembinaan tambah MBAM, telah memikul pelbagai kewajipan kewangan, termasuk caruman pekerja asing dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, levi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan, duti setem dan caruman HRD Corporation.


Untuk mengurangkan kesan itu, ia menggesa kerajaan menggunakan SST hanya untuk kontrak dilaksanakan selepas 1 Januari 2026 selain mencadangkan pengurangan kadar cukai tersebut daripada 6 peratus kepada sebanyak 4 peratus.


MBAM turut menekankan bahawa cukai itu tidak sepatutnya dikenakan kepada projek yang sedang berjalan, kerana pihak kontraktor tidak mempunyai cara untuk menyerap kos tidak dijangka sebaik sahaja belanjawan dimuktamadkan.


"Sebahagian besar kami tidak berada dalam kedudukan kewangan bagi menyerap atau membiayai kos cukai sebegitu untuk pihak pelanggan dan ini boleh menjejaskan garis masa projek malah membawa kepada isu insolvensi," kata MBAM.


Walaupun peraturan semasa menyediakan pengecualian 12 bulan untuk kontrak tidak boleh disemak, MBAM menyeru agar tempoh ini dilanjutkan kepada 24 bulan dan meliputi semua projek, bagi memberi masa kepada pihak terbabit menyesuaikan diri.


MBAM juga menggesa SST hanya dikenakan pada bahagian perkhidmatan kontrak pembinaan, tidak termasuk bahan dan perkakasan, di samping mencadangkan pembayaran SST dikaitkan dengan tuntutan kemajuan yang diperakui dan bukannya tarikh invois.


Kementerian Kewangan pada 9 Jun 2025 mengumumkan bahawa SST yang disemak semula dan diperluaskan skop liputannya, seperti yang dibentangkan dalam Belanjawan 2025, akan berkuat kuasa pada 1 Julai 2025.


Cukai jualan 5 hingga 10 peratus dikenakan ke atas barangan bukan keperluan terpilih, manakala cukai perkhidmatan merangkumi perkhidmatan pembinaan kepada penyedia dengan hasil tahunan melebihi RM1.5 juta. - DagangNews.com