Maybank, SERC perbaharui MoU majukan pasaran modal di Kemboja | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Maybank, SERC perbaharui MoU majukan pasaran modal di Kemboja

Ketua Pegawai Eksekutif Perbankan Global Maybank, Datuk John Chong (kiri) dan Pengarah Urusan SERC, Sou Socheat di majlis MoU
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 7 Nov – Maybank International Holdings Sdn. Bhd. (MIH), sebahagian daripada Maybank Investment Banking Group (Maybank IBG) memperbaharui Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Pengawal Selia Sekuriti dan Bursa Kemboja (SERC) untuk memperkukuh kerjasama bagi menyokong pertumbuhan dan pembangunan pasaran modal di negara itu.

 

MoU yang dikemas kini ini membina asas daripada kerangka kerjasama dan bantuan teknikal sedia ada, menyediakan platform untuk pembangunan kapasiti, perkongsian kepakaran mengawal selia dan kerjasama teknikal. 

 

Ia bertujuan membantu memajukan pasaran modal Kemboja dengan menumpukan kepada pembangunan kapasiti dalam bidang tadbir urus korporat, pengurusan risiko, pematuhan, piawaian kewangan dan perakaunan serta inovasi produk. 

 

Perkongsian ini juga memfokuskan usaha untuk meningkatkan penyertaan pelabur dan menarik pelaburan asing ke pasaran modal negara itu.

 

Pengarah Urusan SERC, Sou Socheat berkata, MoU itu adalah satu langkah penting dalam hubungan jangka panjang dan dipercayai antara SERC dan Maybank.

 

“Industri sekuriti Kemboja terus berkembang dan perkongsian ini memberikan kepakaran yang bernilai untuk membangunkan rangka kerja pengawalseliaan, memperluaskan tawaran produk dan memupuk modal insan bagi menyokong pertumbuhan pasaran. 

 

“Kami menantikan untuk mengeratkan kerjasama dalam mempromosikan inovasi, kecekapan dan keyakinan pelabur,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Investment Banking Group Michael Oh-Lau berkata, pihaknya berbesar hati dapat memperbaharui kerjasama dengan SERC pada saat penting bagi pasaran modal Kemboja, selaras dengan Visi Kemboja 2030 dan 2050. 

 

“Pelan Induk Pembangunan Sektor Sekuriti 2025–2035 menyediakan peta jalan untuk mempelbagaikan produk dan perkhidmatan kewangan serta memajukan kewangan mampan, bidang di mana Maybank membawa kepakaran ASEAN, rekod pencapaian, dan rangkaian luas. 

 

“Dengan pertumbuhan ekonomi dijangka 4 peratus pada 2025 dan keperluan infrastruktur yang meningkat, pasaran modal Kemboja mempunyai potensi besar untuk menggerakkan dana, terutamanya untuk projek infrastruktur mampan,” katanya.

 

Maybank telah beroperasi di Kemboja lebih daripada 30 tahun dan kini mengendalikan 21 cawangan, menawarkan rangkaian penyelesaian kewangan menyeluruh bagi menyokong pertumbuhan ekonomi negara itu. 

 

Selain perkhidmatan perbankan, Maybank Kemboja turut memperkukuh sokongan kepada PKS dan pengeksport melalui inisiatif seperti pembiayaan eksport PKS yang membolehkan perniagaan tempatan berkembang di peringkat serantau dan global. - DagangNews.com