Maxis dipilih sebagai rakan telekomunikasi utama ECRL selama 10 tahun | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Maxis dipilih sebagai rakan telekomunikasi utama ECRL selama 10 tahun

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 11 Feb – Maxis Berhad telah dilantik secara rasmi oleh Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) sebagai penyedia infrastruktur dan rakan telekomunikasi pilihan tunggal bagi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

 

Perjanjian strategik ini berlangsung selama 10 tahun dan menekankan peranan Maxis dalam menyokong salah satu projek infrastruktur nasional yang terbesar di Malaysia.

 

Pelantikan itu dimeterai di stesen ECRL KotaSAS, Kuantan, sempena majlis ketibaan Golden Tren Electric Multiple Unit (EMU) dan Lokomotif Elektrik (E-Loco) bagi projek ECRL. 

 

Majlis tersebut disempurnakan oleh Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook dan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.

 

Di bawah perjanjian tersebut, Maxis akan menyediakan ekosistem kesalinghubungan lengkap sepanjang jajaran rel sepanjang 665 kilometer.

 

Ini termasuk liputan mudah alih lancar untuk penumpang, pengurusan dan pengkomersialan aset fiber milik MRL, WiFi berkelajuan tinggi dalam tren, penyelesaian jalur lebar untuk peruncit di stesen, serta perkhidmatan push-to-talk (PTT) bagi operasi dan keselamatan anggota rel.

 

Maxis turut menandatangani perjanjian dengan U Mobile Sdn Bhd bagi membangunkan infrastruktur mudah alih baharu.

 

Model rangkaian berkongsi ini membolehkan semua pengguna pengendali rangkaian menikmati perkhidmatan tanpa gangguan, sambil mengekalkan piawaian liputan dan kualiti di sepanjang jajaran.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Goh Seow Eng berkata, Maxis komited menyokong projek ECRL dengan menyediakan kesalinghubungan yang pantas, diyakini dan selamat.

 

“Ini akan memberi manfaat kepada operasi rel, penumpang serta ekosistem peruncit. Inisiatif ini selaras dengan agenda digital negara dan pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur,” katanya.

 

Perkongsian ini menandakan langkah penting Malaysia ke arah rangkaian pengangkutan bersepadu digital.

 

Dengan rangkaian Maxis, projek ECRL dijangka bukan sahaja menjadi penghubung pengangkutan, tetapi juga koridor digital yang memperkasakan komuniti, perniagaan dan industri di seluruh Pantai Timur. - DagangNews.com