Matrix Concepts serah bayaran premium RM50 juta sokong pembangunan MVV 2.0 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Matrix Concepts serah bayaran premium RM50 juta sokong pembangunan MVV 2.0

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 2 DisMatrix Concepts Holdings Bhd menyerahkan bayaran premium berjumlah RM50 juta kepada kerajaan Negeri Sembilan bagi pembangunan projek berimpak tinggi Malaysia Vision Valley (MVV 2.0).

 

Pemaju hartanah dalam kenyataan memaklumkan, sumbangan RM50 juta berkenaan merupakan bayaran premium bagi Plot C MVV City, sebahagian daripada komitmen kewangan kumpulan terhadap pembangunan koridor pertumbuhan strategik terbabit.

 

Cek tiruan bayaran premium tersebut telah disampaikan Pengerusinya, Datuk Mohamad Haslah Mohamad Amin kepada Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

 

Matrix Concepts berkata, penyerahan simbolik itu mencerminkan kerjasama awam-swasta yang menjadi pemacu utama pembangunan MVV City, sebuah projek bandar terancang berskala besar yang disasar merangsang aktiviti ekonomi, menjana peluang pekerjaan serta menyokong agenda pembangunan jangka panjang Negeri Sembilan.

 

“Sumbangan RM50 juta ini mewakili sebahagian daripada premium penukaran tanah dan membuktikan komitmen Matrix Concepts terhadap pembangunan MVV City.

 

“Ia juga mencerminkan keyakinan kami terhadap visi jangka panjang kerajaan negeri dalam membangunkan wilayah ini sebagai hab ekonomi baharu,” menurut kenyataan itu.

 

Selain menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi, MVV City turut dijangka memberi limpahan kepada sektor hartanah, industri sokongan serta kesejahteraan komuniti setempat menerusi pembangunan mampan dan bersepadu.

 

Matrix Concepts turut menegaskan komitmen berterusannya untuk menyokong aspirasi pembangunan Negeri Sembilan melalui perkongsian strategik dan pelaburan berimpak tinggi, sekali gus mengukuhkan peranannya sebagai antara penyumbang aktif kepada kemajuan ekonomi dan kesejahteraan komuniti negeri tersebut. - DagangNews.com