KUALA LUMPUR 22 Dis - Malaysia Aviation Group (MAG) mengesahkan operasi MASwings diserapkan kepada AirBorneo berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026, susulan proses pemindahan pemilikan di bawah Perjanjian Jual Beli (SPA) yang dimeterai antara MAG dan Kerajaan Sarawak pada 12 Februari 2025.
Dalam kenyataan hari ini, MAG berkata bermula tarikh berkenaan, AirBorneo akan mengambil alih sepenuhnya tanggungjawab undang-undang dan operasi bagi semua perkhidmatan yang sebelum ini dikendalikan oleh MASwings, termasuk operasi penerbangan, perkhidmatan pelanggan serta pengurusan semua perkara berkaitan penumpang.
Menurut MAG, sepanjang fasa awal peralihan, penjenamaan MASwings mungkin masih kelihatan sementara AirBorneo secara berperingkat memperkenalkan identiti korporat baharunya.
Sehubungan itu, MAG menghargai kerjasama serta kefahaman para penumpang, rakan kongsi dan pihak berkepentingan sepanjang tempoh peralihan tersebut.
MASwings yang ditubuhkan pada 1 Oktober 2007 merupakan syarikat penerbangan komuter pertama khusus untuk Malaysia Timur, diwujudkan bagi memenuhi keperluan perjalanan udara di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Syarikat penerbangan itu memulakan operasi dengan armada empat pesawat Fokker 50 berkapasiti 50 tempat duduk dan empat pesawat Twin Otter 19 tempat duduk, meliputi rangkaian 22 destinasi di rantau berkenaan.
ARTIKEL BERKAITAN: AirBorneo: Jawapan Sarawak Terhadap Kos Penerbangan Tinggi
MAG berkata pada 2009, armada Fokker 50 telah digantikan secara berperingkat dengan pesawat ATR 72-500, sekali gus meningkatkan kecekapan operasi, kebolehpercayaan rangkaian dan pengalaman keseluruhan penumpang.
Sepanjang hampir dua dekad operasi, MASwings memainkan peranan penting dalam menyediakan Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS), menghubungkan komuniti pedalaman dan kawasan terpencil dengan pusat bandar utama.
Menurut MAG, perkhidmatan itu menyokong akses kepada penjagaan kesihatan, pendidikan, perkhidmatan kerajaan, aktiviti komersial serta pelancongan, di samping menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi Sabah, Sarawak dan Labuan.
“Sejak penubuhannya, MASwings telah mengendalikan lebih 430,000 penerbangan dan membawa lebih 19 juta penumpang merentasi rangkaiannya,” kata MAG, sambil menambah syarikat itu turut menjana lebih 300 peluang pekerjaan langsung dan tidak langsung dalam rantaian nilai penerbangan.
Menurut MAG, sebagai anak syarikat kumpulan, MASwings turut memperkukuh ekosistem penerbangan MAG dengan meningkatkan kesalinghubungan bersama Malaysia Airlines dan Firefly, sekali gus memperbaiki akses domestik dan antarabangsa bagi pengembara di Malaysia Timur.
MAG berkata ia kekal komited untuk menyokong peralihan yang lancar serta memperkukuh lagi kesalinghubungan udara serantau untuk Sarawak dan komuniti yang lebih luas.
Bagi pelanggan yang mempunyai pertanyaan berkaitan tempahan, penerbangan atau perkhidmatan pelanggan mulai 1 Januari 2026, mereka dinasihatkan untuk menghubungi pusat panggilan AirBorneo di 1-300-22-1388 (bebas tol tempatan) atau +60 82-537 555 bagi panggilan antarabangsa. - DagangNews.com








