Master Tec dapat kontrak tambahan RM32.86 juta daripada TNB, nilai kontrak naik kepada RM142.4 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Master Tec dapat kontrak tambahan RM32.86 juta daripada TNB, nilai kontrak naik kepada RM142.4 juta

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 6 Jan - Master Tec Group Berhad, pengeluar dan pengedar kabel kuasa, kawalan serta instrumentasi, menerima kontrak tambahan di bawah kategori Nilai Pilihan bernilai RM32.86 juta daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) melibatkan pembekalan dan penghantaran kabel serta konduktor bawah tanah bagi Rangkaian Pengagihan TNB.

 

Dengan pelaksanaan Nilai Pilihan tersebut, nilai kontrak di bawah kod TNB104/2025 meningkat kepada RM142.40 juta berbanding nilai asal RM109.54 juta.

 

Dalam kenyataan hari ini Master Tec berkata, pelaksanaan Nilai Pilihan itu tertakluk kepada kriteria prestasi dan kualiti tertentu serta akan dilaksanakan mengikut terma kontrak sedia ada.

 

Kontrak berkenaan merangkumi pembekalan kabel dan konduktor bawah tanah dalam pelbagai saiz, sekali gus mengukuhkan kedudukan Master Tec sebagai pembekal dipercayai kepada utiliti nasional, khususnya dalam projek pengukuhan grid, pembumian kabel serta penaiktarafan rangkaian pengagihan elektrik.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Master Tec Group, Tee Kok Hwa, berkata penganugerahan Nilai Pilihan itu mencerminkan keupayaan pelaksanaan syarikat serta konsistensi kualiti produk yang ditawarkan.

 

“Anugerah ini mengesahkan hubungan jangka panjang kami dengan TNB dan menyerlahkan peranan Master Tec dalam menyokong pembangunan infrastruktur pengagihan tenaga negara,” katanya.

 

Dalam pengumuman keputusan kewangan terkini, Master Tec mencatat satu lagi prestasi suku tahunan rekod bagi suku ketiga berakhir 30 September 2025 (Q3 FY2025) dengan hasil meningkat kepada RM115.83 juta, naik 32.2% berbanding RM87.63 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya.

 

Peningkatan prestasi itu didorong oleh permintaan berterusan terhadap produk kabel Kumpulan serta pengembangan penyelesaian infrastruktur berkaitan utiliti.

 

Master Tec berkata, syarikat akan terus menumpukan kepada pengukuhan keupayaan pembuatan, kecekapan operasi serta standard kualiti dan penghantaran, bagi menyokong projek infrastruktur tenaga yang diterajui oleh utiliti di seluruh negara.

 

Pada penutup dagangan jam 5 petang hari ini, saham Master Tec ditutup pada RM1.13, menjadikan permodalan pasaran syarikat kepada RM1.15 bilion- DagangNews.com