KUALA LUMPUR 27 Feb – Tekanan kos melonjak sehingga menipiskan margin keuntungan kepada Telekom Malaysia Berhad (TM) menjadi isu kritikal bagi tempoh suku keempat 2025, menurut penganalisis.
Dua firma namun berbeza pandangan terhadap prospek syarikat telekomunikasi itu, dengan satu kekal berhati-hati, manakala satu lagi melihat kelemahan harga saham sebagai peluang belian semula.
MBSB Research mengekalkan saranan 'neutral' dengan harga sasaran (TP) sesaham disemak turun kepada RM7.12 daripada RM7.21 selepas prestasi kewangan kumpulan itu bagi FY25 di bawah jangkaannya.
"Keuntungan dinormalisasi 4QFY25 susut ketara kepada RM363.2 juta, merosot 50.3% tahun ke tahun (YoY) dan 41.7% suku ke suku (QoQ) meskipun hasil naik 6.8% YOY," katanya dalam nota hari ini.
Keadaan tersebut jelasnya, berikutan nisbah kos kepada hasil melonjak kepada 97.7% berbanding 85.5% setahun lalu, sekali gus menurunkan margin keuntungan TM kepada hanya 11% daripada 24%.
Bagi tahun penuh FY25 kata MBSB Research, keuntungan dinormalisasi meningkat 10.4% YoY kepada RM1.75 bilion, disokong pengembangan margin kepada 14.7% berbanding kira-kira 13.5% pada FY24.
Namun, prestasi keseluruhan mencapai 92.4% daripada unjuran firma itu, dengan pertumbuhan hasil didorong segmen Unifi dan TM Global, walaupun sebahagiannya diimbangi penyusutan hasil TM One.
"Bagi FY26, kami meramal prestasi hasil hampir sama dengan FY25, tetapi memberi amaran tekanan kos berterusan termasuk susut nilai tinggi berikutan peningkatan perbelanjaan modal (capex)," katanya.
Berdasarkan perkembangan tersebut, MBSB Research menyemak turun unjuran pendapatan TM bagi FY26 dan FY27 masing-masing sebanyak 5.4% dan 4.7% selepas melaraskan semula andaian pelbagai kos.
Artikel berkaitan: Untung bersih Telekom Malaysia bagi 4QFY5 merudum ketara kepada RM222.5 juta berikutan kos operasi naik
Dari sudut pulangan pemegang saham katanya, ia mengumumkan dividen 4Q25 iaitu 18.5 sen, menjadikan jumlah dividen FY25 kepada 31 sen, dengan firma itu turut menyemak naik andaian dividen tahunan.
Sebaliknya, RHB Research mengekalkan saranan 'beli' dengan TP baharu RM8.90 daripada RM8.30, yang membayangkan potensi kenaikan saham kumpulan ini mencecah 15% serta hasil dividen sekitar 4%.
"Kami menyifatkan keputusan FY25 sebagai masih selari jangkaan, dengan penurunan ketara keuntungan 4QFY25 dipengaruhi oleh caj Skim Pemberhentian Sukarela (VSS) bersifat sekali sahaja," katanya.
Pendapatan terlaras TM bagi FY25 mencapai 105% daripada unjuran firma tersebut, manakala dividen sesaham 31 sen mewakili nisbah pembayaran (DPR) 70%, lebih tinggi daripada dasar rasmi hanya 60%.
Dari segi operasi kata RHB Research, hasil gentian runcit menunjukkan momentum yang lebih kukuh dengan pertumbuhan 5.6% QoQ pada 4Q25, manakala segmen borong mencatat pertumbuhan dua digit YoY.
Pihak pengurusan jelasnya, memberi panduan pertumbuhan hasil satu digit rendah dan perolehan kasar mendatar bagi FY26, dengan intensiti capex meningkat kepada 20% berbanding FY25 iaitu 16.1%.
"Bagaimanapun, kedudukan kunci kira-kira TM adalah kekal kukuh dengan nisbah hutang bersih kepada perolehan kasar hanya sebanyak 0.4 kali dan aliran tunai bebas melebihi RM1 bilion," jelasnya.
Secara keseluruhan, kedua-dua firma penyelidikan tersebut bersetuju bahawa kumpulan tersebut berdepan tekanan kos jangka pendek, namun berbeza dari segi penilaian daya tahan jangka sederhana.
MBSB kekal berhati-hati terhadap risiko margin dan peningkatan capex, manakala RHB melihat asas kewangan kukuh serta komitmen dividen tinggi sebagai pemangkin nilai. - DagangNews.com








