Manforce bakal berpindah ke Pasaran ACE, terbitkan 99.98 juta saham baharu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Manforce bakal berpindah ke Pasaran ACE, terbitkan 99.98 juta saham baharu

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 20 Jan – Manforce Group Berhad akan menawarkan sebanyak 99.98 juta saham biasa baharu dalam cadangan penyenaraian awal awam (IPO) di Pasaran ACE Bursa Malaysia, bersamaan kira-kira 25% daripada modal saham terbitan yang diperbesarkan sebanyak 399.98 juta saham. 

 

Manforce berkata penyenaraian ini turut merangkumi tawaran penjualan 19.99 juta saham sedia ada kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

 

Selain itu 19.99 juta saham baharu (5% daripada modal saham terbitan diperbesarkan) akan ditawarkan kepada orang awam Malaysia, 10 juta saham (2.5%) diperuntukkan kepada pengarah, pekerja dan individu lain yang layak manakala 19.99 juta saham (5%) dikhaskan untuk penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.

 

Sebanyak 29.99 juta saham (7.5%) pula diperuntukkan untuk pelabur Bumiputera yang diluluskan MITI. 

 

Penjualan 19.99 juta saham sedia ada atau 5% daripada modal saham terbitan diperbesarkan juga akan dilakukan melalui penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan MITI.

 

Manforce menyediakan perkhidmatan pengurusan pekerja asing, perkhidmatan buruh manual dan pengurusan asrama, menyediakan rumusan tenaga kerja menyeluruh merentasi sektor pembuatan, pembinaan, perkhidmatan makanan & minuman, runcit, penjagaan kesihatan, hartanah dan automotif.

 

Kumpulan ini juga menawarkan perkhidmatan tambahan termasuk  insurans, pengiriman wang dan pengambilan pekerja.

 

Bagi tahun kewangan berakhir 28 Februari 2025, Manforce menguruskan purata kira-kira 6,761 pekerja. 

 

Penyediaan perkhidmatan menyeluruh ini adalah daripada mendapatkan pekerja asing yang sesuai hingga pengurusan mereka setibanya di Malaysia, mengendalikan proses pengambilan pekerja dan memastikan pelanggan menerima tenaga kerja yang tepat.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan Manforce  Datuk Wong Boon Ming berkata kelulusan Bursa Securities merupakan langkah penting untuk memperkukuh kedudukan syarikat sebagai rakan kongsi pengurusan tenaga kerja yang dipercayai dan mematuhi peraturan. 

 

“Penyenaraian di Pasaran ACE akan membolehkan syarikat menyokong pengambilan pekerja dan perkhidmatan pengurusan pekerja, meluaskan kuota tenaga kerja yang diluluskan serta melabur dalam teknologi untuk meningkatkan perkhidmatan pelanggan,” katanya.

 

Pengarah Urusan M & A Equity Holdings Berhad Datuk Bill Tan pula berkata Manforce menunjukkan trajektori pertumbuhan yang berjaya daripada Pasaran LEAP ke Pasaran ACE dengan amalan pematuhan yang mantap, skala operasi yang kukuh dan model pendapatan berulang yang stabil.

 

Hasil IPO dijangka digunakan untuk pengembangan kuota pengambilan pekerja asing baharu, pelaburan dalam sistem IT, modal kerja dan perbelanjaan berkaitan penyenaraian. 

 

Langkah ini dijangka memperkukuh kapasiti pertumbuhan, kecekapan operasi dan ekosistem perkhidmatan Manforce di Malaysia.

 

M & A Securities Sdn. Bhd. bertindak sebagai Penasihat Utama, Penaja, Penaja Jamin dan Ejen Penempatan, manakala Eco Asia Capital Advisory Sdn. Bhd. berperanan sebagai Penasihat Kewangan untuk Manforce Group Berhad.- DagangNews.com