Mandarin Oriental sertai Desaru Coast sebagai pengendali hotel baharu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Mandarin Oriental sertai Desaru Coast sebagai pengendali hotel baharu

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 5 Jun – Destination Resorts & Hotels Sdn Bhd (DRH) mengumumkan pelantikan Mandarin Oriental sebagai pengendali hotel terbaharu di pembangunan resort Desaru Coast di Johor.

 

Susulan penamatan operasi One&Only Desaru Coast, Mandarin Oriental telah dilantik sebagai pengendali baharu bagi hartanah sedia ada yang kini dikenali sebagai The Sireya, dan akan dijenamakan semula sebagai Mandarin Oriental, Desaru Coast mulai Januari 2026.

 

Desaru Coast merupakan pembangunan resort seluas 1,618 hektar oleh Desaru Development Holdings One Sdn Bhd, anak syarikat kepada Destination Resorts and Hotels Sdn Bhd (DRH), yang dimiliki sepenuhnya oleh Khazanah Nasional Bhd.

 

drh

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Mandarin Oriental Hotel Group, Laurent Kleitman berkata, pihaknya komited membawa penambahbaikan menyeluruh dari segi sajian makanan, kesihatan, penginapan, perkhidmatan, dan hiburan.

 

“Ini penting kerana walaupun sebuah hotel itu sudah cukup menarik, kehadiran penduduk tetap atau pengunjung yang kerap datang akan memberikan suasana yang berbeza kepada destinasi ini,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Malahan, Mandarin Oriental juga akan menambah 40 unit kediaman berjenama sebagai sebahagian daripada projek Mandarin Oriental, Desaru Coast untuk dijual kepada pembeli

 

drh

 

DRH turut menyasarkan untuk menggandakan jumlah bilik penginapan di Desaru Coast menjelang 2027 dan  pembangunan resort tersebut mempunyai kira-kira 800 bilik buat masa ini.

 

Matlamat itu disokong dengan pembinaan Dash Resort Desaru Coast serta projek kediaman berjenama oleh Kumpulan Riyaz, selain sebuah hotel berjenama Ormond oleh ECM Libra Group Bhd.
 

 

drh

 

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, Desaru Coast turut mendapat manfaat daripada pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) susulan salah satu pemilihan kawasan utama.

 

"Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan RM5 juta bagi menaik taraf infrastruktur di kawasan JS-SEZ termasuk Desaru, antaranya melibatkan pelebaran Lebuhraya Utara-Selatan, naik taraf Lebuhraya Senai-Desaru serta sistem Transit Aliran Pantas (RTS) yang dijangka beroperasi Januari 2027.


 
"Malahan, kerajaan negeri turut memberi tumpuan kepada pembangunan modal insan melalui kerjasama Majlis Pembangunan Bakat Johor dan  industri perhotelan bagi memastikan tenaga kerja berkemahiran," katanya.
 

 

drh

 

Sementara itu, Pengerusi DRH, Datuk Mohamed Nasri Sallehudin berkata, pihaknya komited untuk terus memperkukuh Desaru Coast sebagai destinasi pelancongan utama.

 

drh

 

“Desaru Coast bermula pada tahun 2011 hasil inisiatif Khazanah yang melihat potensi pesisir tenggara Johor untuk dibangunkan sebagai destinasi pelancongan antarabangsa.

 

“Lebih 10 tahun kemudian, dengan sokongan berterusan daripada Khazanah, aspirasi itu kekal dan kami terus memperkukuh nilai destinasi ini dengan meletakkan Desaru Coast di pentas antarabangsa,” katanya.

 

DRH turut meneroka kaedah baharu untuk meningkatkan daya tarikan Desaru Coast melalui kerjasama dengan syarikat tersenarai di Singapura, SUTL Enterprise Ltd, bagi mengendalikan marina basah dan kering di Terminal Feri Desaru Coast, serta penganjuran Ombak Festival seperti festival muzik, seni dan budaya yang menampilkan artis antarabangsa.

 

Ketika ini, Desaru Coast mempunyai empat  hotel utama iaitu The Westin Desaru Coast Resort, Hard Rock Hotel Desaru Coast, Anantara Desaru Coast & Villas, dan The Sireya.

 

Projek tersebut kini sedang menunggu kelulusan dan dijangkakan pembinaan bermula tahun ini.- DagangNews.com