KUALA LUMPUR 26 Jan - Malton Berhad menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) dengan pengeluar motosikal elektrik (EV) dari China, Dongguan Benling Vehicle Technology Co., Ltd atau BENLG bagi meneroka potensi kerjasama di Malaysia.
MOU tersebut, yang ditandatangani hari ini, menetapkan terma utama bagi kedua-dua pihak untuk menilai secara bersama kemungkinan penubuhan syarikat usaha sama dengan BENLG bagi memasarkan motosikal EV di Malaysia.
Di bawah perjanjian ini, Malton akan bertindak sebagai rakan tempatan bagi projek yang dicadangkan.
BENLG, yang mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam pembuatan motosikal EV, mengendalikan kilang di Tianjin, Wuxi, dan Taizhou di China, serta mempunyai cawangan antarabangsa di India, Filipina, Thailand dan Indonesia, kata Malton dalam kenyataan di Bursa Malaysia.
Kerjasama ini akan memberi tumpuan kepada beberapa aktiviti persediaan, termasuk:
1. Kajian kebolehlaksanaan dan pasaran untuk motosikal EV di Malaysia serta rantau Asia Tenggara
2. Berurusan dengan pihak berkuasa tempatan untuk penubuhan kilang
3. Mengenal pasti lokasi kilang yang sesuai
4. Mencari rakan pengedaran tempatan, serta
5. menentukan keperluan modal dan perbincangan mengenai perkongsian ekuiti.
Setelah projek ini didapati berdaya maju, kedua-dua pihak akan memasuki perjanjian muktamad bagi memeterai kerjasama secara rasmi.
Malton menekankan, MOU ini tidak mengikat secara undang-undang dan tidak dianggap sebagai perjanjian yang boleh dikuatkuasakan, sebaliknya berfungsi sebagai kerangka untuk perbincangan lebih mendalam mengenai potensi usaha sama ini.
Tempoh sah MOU adalah sembilan bulan, tertakluk kepada penamatan lebih awal sekiranya kedua-dua pihak bersetuju atau selepas perjanjian muktamad dimeterai. Obligasi kerahsiaan akan terus terpakai walaupun MOU ditamatkan.
“MOU ini merupakan peluang bagi Malton dan subsidiarinya untuk meneroka usaha perniagaan baharu dalam pasaran motosikal EV yang semakin berkembang,” kata syarikat itu dalam kenyataan.
Lembaga Pengarah Malton mengesahkan tiada pengarah, pemegang saham utama atau pihak yang berkaitan mempunyai kepentingan secara langsung atau tidak langsung dalam MOU ini.
MOU ini tidak memerlukan kelulusan daripada pemegang saham atau pihak berkuasa pengawalseliaan. - DagangNews.com








