KUALA LUMPUR 13 Mei – Industri penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) aeroangkasa Malaysia berada di landasan kukuh untuk mencapai sasaran hasil RM55 bilion menjelang 2030 dipacu oleh peningkatan permintaan perjalanan udara di rantau Asia Pasifik, pelaburan baharu serta pengukuhan kepakaran kejuruteraan tempatan.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin berkata sasaran itu mencerminkan kira-kira 20 hingga 25 peratus daripada pertumbuhan pasaran MRO Asia Pasifik yang dijangka melepasi AS$60 bilion menjelang akhir dekad ini.
Menurut beliau, segmen MRO kekal sebagai komponen teras industri aeroangkasa negara kerana ia menjana peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada lebih 12,000 pekerja.
“Namun, Malaysia tidak boleh selesa dengan pencapaian semasa memandangkan persaingan serantau semakin sengit dan industri sedang berubah ke arah rantaian nilai yang lebih kompleks.
“Malaysia perlu bergerak ke fasa seterusnya dengan memberi tumpuan kepada aktiviti bernilai tinggi seperti MRO komponen serta pembangunan kepakaran kejuruteraan,” katanya ketika merasmikan persidangan MRO Asia Tenggara 2026 di Kuala Lumpur.
Persidangan yang berlangsung dua hari itu menghimpunkan lebih 350 peserta terdiri daripada syarikat penerbangan, pengeluar, penyedia MRO, pelabur dan pembuat dasar.
Beliau berkata industri aeroangkasa negara telah berkembang pesat dengan jumlah hasil mencecah RM32.5 bilion pada 2025 disokong lebih 250 syarikat serta hampir 35,000 tenaga kerja mahir.
“Sektor MRO kini menjadi antara penyumbang utama pertumbuhan ekonomi negara di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 serta Pelan Industri Aeroangkasa Malaysia 2030.
“Jika pada awal tahun 2000, industri ini masih di peringkat awal pembangunan, Malaysia hari ini telah muncul sebagai antara hab serantau MRO, khususnya melalui peranan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).
“Kehadiran syarikat gergasi global seperti Airbus, Boeing, GE Aerospace, Safran dan Turkish Aerospace Industries di Malaysia membuktikan keyakinan terhadap keupayaan tenaga kerja tempatan,” katanya.
Selain itu, kerajaan turut memfokuskan kepada pembangunan ekosistem aeroangkasa yang lebih menyeluruh merangkumi reka bentuk, pembuatan, penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta MRO bernilai tinggi.
Pada masa sama, infrastruktur turut diperkukuh termasuk pembangunan semula Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (Subang) serta pembangunan Selangor Aero Park di KLIA Aeropolis bagi menyokong pertumbuhan industri. - DagangNews.com








