Malaysia tegas kekalkan ekonomi terbuka, sedia hadapi perubahan dasar AS | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malaysia tegas kekalkan ekonomi terbuka, sedia hadapi perubahan dasar AS

Datuk Seri Mohamad Hasan. Gambar/FB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan

KUALA LUMPUR 4 Feb - Kerajaan sekali lagi menegaskan komitmen untuk mengekalkan Malaysia sebagai negara ekonomi terbuka dan bersedia mengambil langkah strategik bagi mengimbangi kepentingan negara dalam menghadapi perubahan dasar pentadbiran baharu Amerika Syarikat (AS).

 

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Malaysia juga akan memanfaatkan peluang untuk memperkukuh hubungan dua hala dan kerjasama dengan AS.

 

Beliau berkata, dasar luar 'America First' yang diamalkan oleh pentadbiran AS berpotensi untuk mengubah pendekatan negara itu terhadap hubungan luar negara, yang seterusnya boleh memberi kesan secara langsung atau tidak langsung kepada Malaysia.

 

"Sebagai sebuah negara yang ekonominya bergantung kepada perdagangan, kita pasti akan merasai kesannya sama ada secara langsung atau tidak langsung. 

 

"Namun, kita sedang memantau dengan teliti situasi ini dan laporan akan dibentangkan kepada Kabinet dari semasa ke semasa," katanya ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat hari ini, seperti laporan The Sun.

 

Beliau menjawab soalan yang dikemukakan oleh Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) yang bertanya mengenai bagaimana Malaysia, selaku pengerusi ASEAN, akan menyelaraskan hubungan ASEAN dengan BRICS berikutan ancaman ekonomi terhadap blok tersebut daripada pentadbiran Presiden AS, Donald Trump.

 

Mohamad menegaskan, dasar luar Malaysia juga menyokong prinsip kerjasama global yang membolehkan negara ini dan komuniti antarabangsa menangani cabaran global yang semakin mendesak.

 

Menurut beliau, Malaysia kekal komited untuk membina kerjasama dengan negara lain, membolehkan Malaysia menjadi negara rakan BRICS.

 

Negara anggota sedia ada juga akan menilai sejauh mana komitmen Malaysia sebelum menerima sepenuhnya keanggotaan dalam blok tersebut.

 

Setakat ini, Mohamad berkata, perdagangan intra-ASEAN hanya di bawah 25 peratus, sedangkan rantau ini mempunyai populasi lebih 600 juta, hampir mencecah 700 juta penduduk.

 

"Ini merupakan satu kekuatan kepada ASEAN dan sebab itu kita telah melihat pelbagai inisiatif, termasuk bagaimana kita boleh membangunkan kawasan pembangunan bersama.

 

"Sebagai contoh, Malaysia dan Thailand sudah mempunyai zon pembangunan bersama. Begitu juga dengan Singapura, apabila kita menubuhkan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JSSEZ), yang bakal melonjakkan lagi ekonomi kedua-dua negara," ujarnya.

 

Tambah beliau, pelbagai inisiatif lain turut diperkenalkan bagi memastikan perdagangan intra-ASEAN dapat mencapai lebih RM3 trilion menjelang tahun 2030. - DagangNews.com