KUALA LUMPUR 25 Nov - Malaysia Smelting Corporation Berhad (MSC) melaporkan prestasi memberangsangkan bagi suku ketiga tahun kewangan 2025 (3QFY25) dengan mencatat hasil RM529.5 juta, meningkat 12.7% berbanding RM470.1 juta setahun lalu.
Dalam kenyataan, syarikat itu berkata, prestasi memberangsangkan itu dipacu peningkatan harga timah global, jualan lebih tinggi produk timah bertapis serta bahan antara (intermediates).
Tambah kenyataan itu, harga purata timah yang lebih kukuh pada RM143,500 satu metrik tan (MT) turut membantu merancakkan prestasi Kumpulan.
Bahagian Peleburan Hampir Pulih
Bahagian peleburan, yang sebelum ini terkesan akibat kerugian dagangan dan pengukuhan Ringgit, berjaya mengecilkan kerugian selepas cukai kepada RM1.6 juta berbanding RM10.3 juta pada 3QFY24.
Ini disokong permintaan lebih tinggi terhadap bahan antara yang menawarkan margin lebih baik.
Segmen perlombongan pula terus menjadi penyumbang utama dengan keuntungan selepas cukai meningkat 8% kepada RM24.4 juta, hasil pengeluaran timah lebih tinggi dan harga lebih kukuh di pasaran global.
"Hasil keseluruhan ini melonjakkan keuntungan bersih Kumpulan kepada RM20.4 juta—pertumbuhan 42.7% YoY—dengan margin bersih bertambah kepada 3.9%," kata kenyataan itu.
Bagi tempoh 9MFY25, hasil MSC meningkat 2.8% kepada RM1.3 bilion, namun keuntungan bersih susut kepada RM42.1 juta berbanding RM49.2 juta setahun lalu.
Kemerosotan ini berpunca daripada penilaian cukai tambahan terhadap anak syarikat perlombongan, Rahman Hydraulic Tin Sdn Bhd, oleh LHDN – satu faktor yang tidak berulang.
Pasaran Timah Global Kekal Ketat
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MSC, Datuk Dr. Patrick Yong, optimis prospek industri timah kekal cerah berikutan permintaan meningkat daripada sektor teknologi baharu termasuk tenaga boleh diperbaharui, elektronik, infrastruktur AI dan pertahanan.
“Bekalan global kekal terhad walaupun permintaan terus mengukuh. Regulasi di negara pengeluar seperti Indonesia yang mengambil tindakan terhadap perlombongan haram juga boleh mempengaruhi paras bekalan,” katanya.
Beliau menambah, MSC giat meningkatkan kecekapan operasi, kemajuan teknologi serta logistik, selain meneroka peluang baharu dalam perlombongan dan peleburan timah.
Prestasi Suku ke Suku Mantap
Secara QoQ, hasil Kumpulan melonjak 39.7% QoQ kepada RM529.5 juta dalam 3QFY25, berbanding RM379.0 juta pada suku sebelumnya (“2QFY25”).
Pertumbuhan ini disokong oleh kuantiti jualan lebih tinggi bagi timah bertapis dan bahan antara mengandungi timah, serta harga purata timah lebih tinggi pada RM143,500 per MT (2QFY25: RM139,800).
Keuntungan bersih meningkat 46.3% QoQ kepada RM20.4 juta (2QFY25: RM13.9 juta), menterjemahkan margin keuntungan bersih yang lebih baik pada 3.9% (2QFY25: 3.7%). - DagangNews.com








