KUALA LUMPUR 23 Feb — Malaysia Smelting Corporation Berhad (MSC) mencatatkan prestasi kewangan yang kukuh bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 (FY25), dengan keuntungan bersih meningkat kepada RM82.0 juta, naik 3.3% berbanding RM79.4 juta pada FY24.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, hasil kumpulan mencatat RM1.76 bilion, meningkat 4.1% daripada RM1.69 bilion pada tahun sebelumnya, dipacu oleh jualan timah pertengahan dan hasil sampingan serta harga timah purata yang lebih tinggi pada RM146,100 per metrik tan berbanding RM138,500 pada FY24, walaupun jumlah jualan timah halus lebih rendah.
Bagi segmen peleburan timah, Kumpulan mencatat keuntungan sebelum cukai (PBT) RM26.0 juta, terjejas oleh pengambilan bijih yang lebih rendah dan gangguan sementara akibat kebakaran paip gas di Putra Heights suku kedua 2025, namun sebahagian diimbangi oleh penebusan timah pertengahan dengan margin lebih tinggi.
Segmen perlombongan timah mencatat PBT RM116.6 juta, meningkat berbanding RM110.4 juta sebelumnya, disokong oleh harga timah yang lebih tinggi.
Ketua Pegawai Eksekutif Bersama Lam Hoi Khong, berkata prestasi kewangan kumpulan mencerminkan ketahanan operasi meskipun berdepan cabaran.
"Permintaan timah daripada sektor elektronik, tenaga bersih, kecerdasan buatan dan infrastruktur pusat data terus menyokong pasaran,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Bersama Nicolas Chen Seong Lee, menambah Kumpulan menekankan daya saing dan kecekapan operasi, dengan penjimatan kos daripada penutupan kilang Butterworth dan peningkatan kecekapan di Pulau Indah membantu memperkukuh keuntungan.
"Dalam perlombongan, produktiviti dan pengembangan sumber sedang dipertingkat, termasuk meneroka usaha sama baharu,” katanya.
MSC mencadangkan dividen akhir satu peringkat sebanyak 4 sen sesaham, berjumlah RM33.6 juta, tertakluk kepada kelulusan pemegang saham pada Mesyuarat Agung Tahunan akan datang.
Jumlah dividen FY25 berjumlah 8 sen sesaham, mewakili 82% daripada keuntungan bersih.
Prestasi kukuh MSC dijangka terus mendapat sokongan daripada permintaan global timah, walaupun risiko gangguan rantaian bekalan dan ketegangan geopolitik masih wujud. - DagangNews.com








