KUALA LUMPUR 2 Jan - Standard Minyak Sawit Lestari Malaysia MS2530:2022 (MSPO 2.0) secara rasminya berkuat kuasa semalam, memperkenalkan garis panduan yang lebih ketat untuk kelestarian, jejak rantaian bekalan dan amalan etika dalam pengeluaran minyak sawit.
MSPO berkata, MSPO 2.0 memperbaiki piawaian MSPO 2013 yang asal dengan mengamalkan keperluan yang lebih ketat dan menyeluruh, selaras dengan piawaian global semasa serta jangkaan bagi kelestarian alam sekitar, tanggungjawab sosial dan amalan tadbir urus (ESG).
"Sejak diperkenalkan pada tahun 2013, pensijilan MSPO yang wajib telah menjadi tonggak komitmen Malaysia terhadap kelestarian dan ketelusan.
"Audit pensijilan MSPO dijalankan oleh badan pensijilan bebas yang diiktiraf, memastikan piawaian tertinggi bagi integriti dan kredibiliti," katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, MSPO 2.0 membina asas itu dengan langkah-langkah kelestarian yang dipertingkatkan untuk mengekalkan kepimpinan Malaysia dalam pengurusan minyak sawit yang bertanggungjawab.
"Pemantauan jejak yang menyeluruh akan memastikan ketelusan rantaian bekalan, manakala pengenalan sijil untuk pengedar mewajibkan semua pihak yang terlibat dalam proses pengeluaran dan pengedaran minyak sawit memenuhi syarat kelestarian yang telah ditetapkan," ujarnya.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani sebelum ini berkata, MSPO 2.0 mewakili langkah seterusnya dalam memastikan minyak sawit Malaysia terus dikenali dengan kelestarian dan kebolehpercayaan di pasaran global. - DagangNews.com








