KUALA LUMPUR 27 Feb - Malaysia membatalkan cadangan membeli pesawat terpakai F/A-18 Hornet milik Kuwait setelah mendapati ia tidak kompetitif kepada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk jangka panjang.
Dengan keputusan tersebut, maka pesawat terpakai F/A-18 Hornet secara rasmi telah terkeluar daripada senarai perolehan Kementerian Pertahanan (MINDEF).
Pembatalan memilih Hornet Kuwait ini disahkan Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari di Dewan Rakyat semalam.
Menurut beliau, ketetapan berkenaan telah diputuskan secara rasmi dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang bersidang pada 6 Februari lalu.

Ia selepas mengambil kira laporan teknikal komprehensif oleh pasukan penilai TUDM yang dihantar ke Kuwait pada hujung tahun lalu.
TUDM sebelum ini telah menghantar pegawai tim penilai yang telah melaksanakan penilaian dari 11 hingga 27 November 2025.
Hasil daripada mesyuarat berkenaan telah memutuskan bahawa perancangan ini tidak akan diteruskan.
Penilaian teknikal tersebut mendapati perolehan pesawat Hornet terpakai itu berpotensi mendatangkan risiko serta cabaran logistik jangka panjang kepada TUDM.
Antara faktor kritikal yang dikenal pasti termasuk unjuran tempoh penerimaan pesawat yang memakan masa, kelewatan tarikh mula beroperasi, serta ketiadaan jaminan kesinambungan sokongan penyelenggaraan yang berada di luar kawalan kerajaan Malaysia.


Selain itu, pelaksanaan penyerahan pesawat berkenaan didapati bergantung sepenuhnya kepada garis masa penerimaan pesawat F/A-18 Super Hornet baharu oleh kerajaan Kuwait.
Kuwait menetapkan syarat bahawa pesawat Hornet sedia ada hanya boleh diserahkan kepada Malaysia sekitar 12 hingga 18 bulan selepas mereka menerima sepenuhnya pesawat pengganti baharu.
Syarat perolehan daripada Amerika Syarikat (AS) yang ketat turut menambah kerumitan, khususnya dari sudut integrasi pesawat berkenaan kepada TUDM.
Walaupun Washington sebelum ini telah memberi lampu hijau kepada Malaysia untuk memiliki Hornet Kuwait, namun negara sedar polisi yang bakal ditetapkan oleh AS sebagai negara pengeluar pesawat.
Penjualan senjata dan perdagangan pertahanan merupakan sebahagian dasar luar negara AS.

Pada 18 Disember 2025, Panglima TUDM, Jeneral Dato’ Sri Muhamad Norazlan Aris, mendedahkan bahawa hasrat Malaysia untuk memperoleh pesawat terpakai itu berdepan jalan buntu.
Hasrat TUDM mendapatkan Hornet terpakai ini yang disuarakan sejak 2017 dilihat sukar susulan kekangan teknikal dan garis masa penyerahan.
DagangNews dalam artikel pada 19 Disember 2025 telah menulis supaya TUDM melupakan hasrat membeli pesawat Hornet terpakai, sebaliknya segera mendapatkan pesawat tempur pelbagai peranan (MRCA) baharu.
Dengan perkembangan mutakhir ini, MINDEF kini perlu merangka rancangan termasuk menilai semula program MRCA bagi memperkukuh pertahanan udara negara.
Mengikut rancangan terdahulu, pembelian pesawat Hornet Kuwait sebagai langkah sementara sebelum program MRCA dimulakan pada tahun 2035.



Justeru, MINDEF perlu memberi tumpuan kepada perancangan strategik yang lebih mampan untuk masa depan TUDM.
Apa yang pasti, pembatalan Hornet terpakai Kuwait ini telah meletakkan Malaysia dalam radar pengeluar pesawat-pesawat tempur.
Syarikat pertahanan antarabangsa ini akan bersaing untuk mendapatkan kontrak MRCA TUDM. - DagangNews.com








