Malaysia miliki kelebihan strategik, ungguli rantaian bekalan global – DHL | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malaysia miliki kelebihan strategik, ungguli rantaian bekalan global – DHL

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 1 Julai – Malaysia memiliki banyak kelebihan strategik untuk terus mengungguli rantaian bekalan global menerusi pelaburan berterusan serta perubahan aliran dagangan dan penyusunan semula rantaian bekalan.

 

Pengarah Urusan DHL Express Malaysia & Brunei, Julian Neo berkata, ketika ini, syarikat multinasional (MNC) semakin pantas menyesuaikan operasi mereka dengan cabaran semasa geopolitik dunia dan Malaysia dilihat menjadi  antara penerima manfaat utama perubahan tersebut.

 

"Ketika Amerika Syarikat mengumumkan tarif baharu, sebuah syarikat memindahkan pengeluaran dari Mexico ke Pulau Pinang dalam tempoh seminggu.

 

"Ini menunjukkan daya tarikan Malaysia sebagai hab pengeluaran yang cekap dan responsif," katanya ketika berucap di Persidangan Invest ASEAN-Malaysia 2025.

 

Selain itu, strategi "China Plus X" juga menyaksikan syarikat global terus mempelbagaikan tapak pengeluaran mereka ke negara-negara ASEAN termasuk Malaysia.

 

"Peralihan ini mendorong peningkatan pelaburan langsung domestik dan asing, seterusnya menyusun semula landskap ekonomi kita.

 

"Sebanyak 60 peratus hasil DHL di Malaysia disumbang oleh MNC, manakala bakinya adalah daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang mencerminkan asas ekonomi yang seimbang dan kukuh," katanya.

 

Beliau turut memberi penekanan terhadap kepentingan strategi seperti near-shoringre-shoring dan friend-shoring dalam membina rantaian bekalan yang lebih teguh.

 

"Untuk terus kekal berdaya saing, kita mesti melabur dalam rantaian bekalan yang berdaya tahan. 

 

"Malaysia memainkan peranan penting dan kami di DHL menyokongnya melalui pelaburan berterusan dalam kecerdasan buatan dan automasi," katanya.

 

Beliau berkata, kedudukan Malaysia yang semakin kukuh dengan pasaran baharu seperti Mexico, Romania dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) adalah pemacu gelombang perdagangan yang terus cemerlang.

 

"Untuk memaksimumkan potensi ini, kita perlu menandatangani perjanjian perdagangan bebas baharu serta meluaskan lagi kerjasama strategik dengan pasaran-pasaran ini," katanya.

 

Meskipun terdapat ketidaktentuan geopolitik ketika ini, Neo kekal optimis terhadap prospek perdagangan global.

 

Berdasarkan DHL Trade Atlas, beliau menjangkakan perdagangan global akan berkembang sebanyak 3.1% bagi tempoh 2024 hingga 2029.

 

"Malah ketegangan Amerika Syarikat dan China yang hanya merangkumi 2.6% daripada jumlah perdagangan global masih belum cukup untuk menggugat momentum semasa.

 

"Perdagangan global terlalu besar untuk gagal, dan Malaysia mempunyai segala ramuan untuk berjaya dalam ekosistem ini," katanya. - DagangNews.com