KUALA LUMPUR 17 Jun - Malaysia mencatat pencapaian membanggakan apabila naik 11 anak tangga dalam Laporan Daya Saing Dunia (WCR) 2025, dengan menduduki tempat ke-23 daripada 69 ekonomi dunia.
Ini merupakan kedudukan terbaik Malaysia sejak tahun 2020.
Laporan tahunan itu diterbitkan oleh Institute for Management Development (IMD) di Switzerland.
Ia menilai keupayaan sesebuah negara untuk mewujudkan dan mengekalkan persekitaran mesra perniagaan bagi menjamin kemakmuran jangka panjang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan, pencapaian tersebut jelas menunjukkan usaha perubahan Kerajaan MADANI membuahkan hasil.
"Kita buktikan Malaysia mampu melonjak jauh dengan tekad politik, iltizam seluruh jentera kerajaan dan kerjasama erat sektor swasta.
"Prestasi memberangsangkan dalam perdagangan, kecekapan pentadbiran dan persekitaran pelaburan menjadi asas kukuh kepada kemajuan ekonomi yang inklusif dan mampan," katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Perdana Menteri berkata, pencapaian itu milik semua rakyat Malaysia.

"Ia adalah antara asas penting dalam perjalanan kita untuk meletakkan negara ini dalam kelompok ekonomi paling berdaya saing menjelang 2033 demi masa depan yang lebih cerah untuk anak-anak kita," jelasnya.
Sementara itu, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, kedudukan Malaysia yang lebih baik daripada tahun lalu menunjukkan ekonomi negara semakin pulih dan usaha pembaharuan berjalan dengan baik.
Kedudukan berkenaan seiring dengan matlamat Kerangka Ekonomi MADANI yang mahu Malaysia berada dalam 12 ekonomi paling berdaya saing di dunia menjelang 2033.

"Peningkatan ini didorong oleh prestasi ekonomi, kecekapan kerajaan dan kecekapan perniagaan," katanya dalam satu kenyataan.
Malaysia kini berada di tempat keempat dunia bagi prestasi ekonomi, naik dari kedudukan kelapan tahun lalu.
Bagi aspek kecekapan kerajaan dan perniagaan, Malaysia masing-masing naik lapan anak tangga.
Dalam aspek perdagangan antarabangsa, Malaysia naik 11 anak tangga ke kedudukan keenam, hasil pertumbuhan kukuh eksport barangan dan perkhidmatan, pasaran yang pelbagai serta peningkatan pendapatan daripada pelancongan.
Ini membantu mengukuhkan lebihan dagangan negara.

MITI melalui Jawatankuasa Daya Saing Negara yang dipengerusikan bersama Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, menyelaras strategi antara kementerian untuk meningkatkan daya saing negara.
Pada peringkat pelaksanaan, Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR) yang diketuai Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, memastikan inisiatif daya saing dilaksanakan dengan lancar.
Ini termasuk lebih 1,000 projek Reformasi Kerenah Birokrasi selaras dengan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam.

Dalam pada itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Aziz berkata, pencapaian tersebut menunjukkan bagaimana reformasi birokrasi memainkan peranan penting dalam merangsang pelaburan dan pertumbuhan industri.
"Pendekatan menyeluruh kerajaan menerusi Kerangka MADANI membuktikan komitmen terhadap pembaharuan struktur secara menyeluruh," jelasnya.
MITI yakin, dengan tadbir urus yang baik, komitmen berterusan dari Kerajaan Persekutuan dan negeri serta kerjasama rapat dengan sektor swasta, Malaysia berada di landasan tepat untuk menjadi antara 12 ekonomi paling berdaya saing di dunia menjelang 2033. - DagangNews.com








